GRS bincang persiapan jentera hadapi PRU15

KOTA KINABALU – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu mengadakan persiapan lebih awal bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perbincangan mengenai persiapan jentera GRS antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat GRS yang diadakan bersama Ahli Majlis Tertinggi GRS.

“Mesyuarat GRS hari ini membincang mengenai persiapan PRU yang dijangka akan diadakan pada bila-bila masa.

“Kita perlu mengadakan persiapan lebih awal agar jentera pilihan raya GRS bersiap siaga menghadapi PRU akan datang,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat itu di Ibu Pejabat GRS, Alamesra pada Ahad.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah tiga Timbalan Pengerusi GRS iaitu Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Seri Yong Teck Lee.

Bercakap lebih lanjut, beliau yang juga Ketua Menteri Sabah memaklumkan bahawa GRS turut akan mengadakan ‘roadshow’ atau siri jelajah Program GRS Bersama Rakyat di setiap kawasan Parlimen negeri ini.

“Roadshow itu akan diadakan bermula Ogos ini,” katanya.

Sementara itu, mengenai perkembangan lain, Hajiji memaklumkan bahawa mesyuarat itu tidak membincangkan mengenai permohonan parti-parti politik yang berminat menyertai GRS.

“Setakat ini belum ada sebarang keputusan mengenai penerimaan lain-lain parti ke dalam GRS.

“Perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat akan datang,” katanya. -SH

Leave a Reply

Your email address will not be published.