Gabungan Rakyat Sabah didaftar secara rasmi tanpa UMNO, PAS, BN
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang baru diluluskan pendaftarannya sebagai entiti politik baharu minggu lalu, hanya disertai empat parti politik setakat ini tanpa UMNO, Barisan Nasional (BN) dan PAS.
Pengerusinya, Datuk Hajiji Noor, berkata empat parti terbabit adalah BERSATU, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP), manakala UMNO dan BN menjadi rakan GRS dalam kerajaan negeri, sama seperti PAS menerusi kapasiti sebagai komponen Perikatan Nasional (PN).
“UMNO dan BN akan bekerjasama dengan GRS dalam mentadbir Sabah seperti sekarang, tapi dalam gabungan rasmi GRS hanya ada empat parti. UMNO, BN ialah rakan kita dalam kerajaan GRS. PAS hanya dalam PN. Apa yang saya sebut empat parti tadi, itu saja yang ada dalam GRS,” katanya.
Beliau berkata deeikian pada sidang media selepas mesyuarat pertama gabungan berkenaan, di sini, hari ini, seminggu selepas GRS didaftar secara rasmi sebagai gabungan politik oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada 11 Mac lalu.
Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah, berkata pihaknya akan menimbangkan permohonan parti lain untuk menyertai GRS melalui satu jawatankuasa khas yang dibentuk bagi meneliti permohonan terbabit.
“Memang ada parti lain mahu ikut (GRS). Contohnya USNO (Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu) sudah memohon sejak tahun lalu lagi. Jadi kita akan timbang sebaiknya nanti,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, berkata pihaknya berharap dengan rasminya GRS sebagai entiti politik baharu, ia dapat memantapkan lagi kerjasama dan perpaduan dalam kalangan parti politik Sabah demi kebaikan negeri ini.
“Situasi politik di Semenanjung tidak memberi kesan kepada keadaan politik di negeri ini disebabkan pemikiran politik yang berbeza di antara wilayah. Apa yang berlaku di sana tidak memberi impak yang boleh memudaratkan politik kita di Sabah terutana GRS,” katanya.
Terdahulu, Hajiji mengumumkan pelantikan tiga Timbalan Pengerusi GRS, iaitu Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee.
Turut diumumkan, Setiausaha Agung GRS, Datuk Masidi Manjun (BERSATU); Ketua Penerangan, Datuk Joniston Bangkuai (PBS) dan Bendahari Agung, Ardino Diris (STAR), manakala tiga Ahli Majlis Tertinggi, Edward Dagul (SAPP), Datuk Rubin Balang (BERSATU) dan Datuk Ruddy Awah (BERSATU).
Hajiji turut menunjukkan kepada media lambang rasmi GRS yang berupa abjad ‘GRS’ berwarna biru tua, merah dan biru muda berlatar belakang garisan biru yang membentuk imej Gunung Kinabalu. – Berita Harian