Bung nafi kemukakan akuan bersumpah sokong Anwar

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin menafikan beliau antara 10 orang ahli parlimen UMNO yang mengemukakan akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bung dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini berkata bukan sesuatu yang mudah bagi seseorang pemimpin politik untuk mendapatkan sokongan dalam bentuk SD.

“(Perkara untuk) mendapatkan SD bukan mudah sebab ia akan menentukan (kerajaan) sesebuah negara.

“Soal nama saya dikaitkan itu, saya tidak tahu. Saya sudah buat kenyataan bulan lepas yang tidak pernah beri sokongan kepada mana-mana pihak.

“Yang penting kita secara individu tidak pernah menyokong mana-mana pihak termasuk Anwar untuk jadi ketua negara,” katanya.

Bung yang juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah itu sebaliknya mengulas dakwaan yang mengaitkan namanya adalah spekulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau juga turut meminta isu yang tidak baik perlu dihentikan segera kerana ia mengelirukan rakyat.

“Mungkin pihak tertentu sengaja mahu buat spekulasi. Saya rasa banyak lagi kerja lain untuk saya buat khususnya menumpukan kepada masalah rakyat.

“Walaupun negara kita adalah negara demokrasi dan media sosial (bebas) untuk disalah guna, hentikan perkara tidak baik yang mengelirukan rakyat.

“Jika benar pihak yang mendakwa itu cukup majoriti, bawa SD itu dan persembahkan kepada Al-Sultan Abdullah. Tidak perlu buat kenyataan.

“Sesiapa yang ada keyakinan diri, bawa dan menghadap baginda. Jangan pula buat permohonan menghadap dengan tangan kosong,” katanya.

Semalam, khabar angin berleluasa apabila dikatakan Anwar selaku ketua pembangkang sekali lagi akan cuba meyakinkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa beliau mempunyai bilangan sokongan yang mencukupi dari kalangan Ahli Dewan Rakyat.

Memetik sumber dari laporan Astro Awani, ahli parlimen Port Dickson terbabit dikatakan sudah mempunyai 113 sokongan berbentuk SD.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *