PKPD di dua lokaliti Sabah ditamatkan hari ini

KOTA KINABALU: Kerajaan telah bersetuju menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dua lokaliti, iaitu Kampung Numbak dan Penempatan Telipok bertempat di Kota Kinabalu, Sabah, hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata keputusan terbabit diambil setelah jumlah kes aktif COVID-19 di kedua-dua lokaliti terbabit menunjukkan trend penurunan dan terkawal.

“Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di Kampung Numbak dan Penempatan Telipok bermula 16 November lepas yang kemudiannya dilanjutkan lagi dan dijadualkan tamat pada hari ini iaitu 13 Disember ini.

“Sehingga 10 Disember, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan sebanyak 6,776 ujian saringan di kedua-dua lokaliti ini dan sebanyak 175 kes kumulatif positif COVID-19 telah direkodkan di Kampung Numbak dan 224 kes di Penempatan Telipok,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Selain itu, Masidi turut berkata sehingga kini KKM mengesahkan jumlah kes aktif di kedua-dua lokaliti ini menunjukkan penurunan.

“Atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Kampung Numbak dan Penempatan Telipok pada hari ini seperti yang telah dijadualkan.

“Namun demikian, lokaliti ini masih tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seluruh negeri Sabah yang sedang berkuat-kuasa,” katanya.

Sabah hari ini telah mencatatkan jumlah kes positif baharu COVID-19 sebanyak 333 kes dan tiada kes kematian direkodkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *