Tiga pemilik restoran dikompaun tiada sijil kesihatan sah, kotorkan kaki lima

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memberikan kompaun kepada tiga pemilik restoran dalam Operasi Pemeriksaan Premis Makanan yang dijalankan di beberapa kawasan sekitar ibu negeri.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Noorliza Awang Alip berkata operasi dijalankan oleh anggota Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya DBKK bertempat di Medan Selera Anjung Senja dan KK Taipan Inanam.

“Kita mengeluarkan dua kompaun mengikut Undang-Undang Kecil Premis Makanan 1966 terhadap kesalahan pengendali makanan tidak memiliki sijil kesihatan yang sah.

“Satu kompaun mengikut Undang-Undang Kecil Anti Sampah Sarap (Pindaan 2005) turut diberikan kepada premis yang didapati mengotorkan kaki lima,” katanya.

Bercakap lanjut berkenaan operasi itu beliau berkata ianya bertujuan untuk memberikan penggredan premis makanan yang beroperasi pada waktu malam.

Tambahnya pihaknya juga komited untuk menguatkuasakan Undang-Undang Kecil Premis Makanan, 1966 dan Undang-Undang Kecil Anti Sampah Sarap (Pindaan 2005), serta menjalankan pemeriksaan premis yang mendapat Gred C dan yang baharu beroperasi.

“Sepanjang operasi dijalankan DBKK juga memberikan nasihat pendidikan kesihatan serta kompaun yang dikeluarkan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran semua pengusaha premis betapa pentingnya mematuhi undang-undang yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan makanan dan kesihatan awam berada pada tahap yang baik.

“Para pengusaha adalah diharapkan untuk sentiasa mematuhi Undang-Undang Kecil Premis Makanan, 1966 dan Undang-Undang Kecil Anti Sampah Sarap (Pindaan 2005) serta Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan di setiap premis makanan mereka bagi menjaga kepentingan awam,” katanya. -UTUSAN BORNEO

Leave a Reply

Your email address will not be published.