Abu Sayyaf jadikan Pantai Barat, Pendalaman Sabah tempat persembunyian baharu

SANDAKAN: Ekoran kawalan ketat dilakukan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) di kawasan Pantai Timur Sabah, ahli kumpulan Abu Sayyaf menjadikan kawasan Pantai Barat dan Pendalaman Sabah sebagai lokasi persembunyian baharu di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata kawalan ketat oleh pihak ESSCom di Pantai Timur Sabah telah menjadikan Pantai Barat dan Pendalaman sebagai persembunyian mereka.

“Yang kita takut, mereka menyebarkan dakyah-dakyah jihad kepada penduduk tempatan, rakyat Filipina yang ada di Sabah dan rakyat lain-lain negara termasuk Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI),” katanya. 

Beliau berkata pihaknya percaya dimana bukan sahaja di Beaufort mereka bersembunyi tetapi tempat-tempat lain.

“Kita akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak ESSCom dan lain-lain agensi keselamatan untuk sama-sama mengesan saki-baki ahli kumpulan ini yang masih berada di Sabah,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penyerahan lapan suspek kumpulan Abu Sayyaf kepada pasukan keselamatan Filipina di atas kapal tentera laut (IZATAN) negara itu di Perairan Antarabangsa, Sandakan – Pulau Taganak, Filipina, pagi Jumaat.

Setakat ini, Hazani berkata pasukan keselamatan Malaysia telah berjaya menahan kumpulan pengganas seramai 91 orang dari tahun 2014 sehingga hari ini.

“Pihak perisikan Malaysia semenangnya bekerjasama sepenuhnya dari pelbagai agensi dan sentiasa bertukar-tukar maklumat,” katanya.

Beliau berkata begitu juga dengan pihak keselamatan dari Filipina, dimana Komander JTF Tawi Tawi Brig. Gen Arturo G Rojas PN(M)  mengakui kita perlu ada pertukaran maklumat antara pasukan keselamatan kedua-dua pihak dalam memperkukuhan keselamatan dua negara.

Pada 8 Mei lepas, Polis dan ESSCom telah menahan lapan ahli kumpulan Abu Sayyaf warga Filipina dalam operasi khas di Taman Sri Arjuna, Beaufort.

Lapan lelaki yang disyaki kumpulan Abu Sayyaf yang ditahan itu telah diserahkan oleh pihak Jabatan Imigresen Sabah kepada pasukan keselamatan negara Filipina, hari ini.

Polis Sabah pada 17 Mei lepas telah menembak mati lima lelaki ahli kumpulan Abu Sayyaf di kawasan setinggan belakang Taman Sri Arjuna , Beaufort.

Salah seorang dari ditembak mati itu dikenali sebagai Mabar Binda, merupakan ketua kumpulan kecil yang tersenarai dalam orang dikehendaki negara Filipina.

Semasa pihak polis melakukan pemeriksaan, salah seorang lelaki telah melepaskan tembakan ke arah polis dan beberapa suspek lagi bersenjata pistol serta parang turut keluar melancarkan serangan sebelum berlaku berbalas tembakan dengan pihak polis dan berjaya ditembak mati.

Polis telah merampas dua pucuk pistol, dua magazine peluru, 20 peluru hidup .45, dua kelongsong peluru dan tiga parang. – UTUSAN BORNEO

Leave a Reply

Your email address will not be published.