Sabah timbang cadangan bina PPS khas di kawasan kerap banjir

KOTA MARUDU: Kerajaan Sabah akan mempertimbangkan cadangan untuk membina pusat pemindahan sementara (PPS) khas secara kekal, terutama di kawasan kerap banjir di negeri itu, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata cadangan itu wajar diberi perhatian, memandangkan beberapa daerah yang sering dilanda banjir berdepan masalah kekurangan PPS, bagi menempatkan semua mangsa terlibat dalam bencana berkenaan.

โ€œJika ia (PPS khas) menjadi keperluan utama setiap kali banjir, maka kerajaan akan mempertimbangkan cadangan itu, kerana tempat pemindahan sementara tidak cukup atau tidak ada (di kawasan terjejas banjir),โ€ katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan bakul makanan dan wang ihsan RM1,000 kepada ketua isi rumah terlibat banjir di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan beberapa wakil rakyat di daerah terlibat banjir mengenai keperluan membina PPS khas, memandangkan PPS sedia ada tidak mencukupi selain untuk memudahkan pengurusan mangsa banjir.

Hajiji juga meminta semua jabatan berkaitan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, Pihak Berkuasa Tempatan di Sabah, membuat perancangan menyeluruh bagi mengurangkan impak dan implikasi bencana banjir pada masa akan datang, dengan mengambil kira aspek mitigasi banjir.

Katanya ia termasuk merancang kerja-kerja mendalamkan sungai serta menyelenggara infrastruktur pengairan dan saliran, seperti parit serta longkang yang tersumbat di setiap daerah terjejas.

Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji turut meminta jawatankuasa pengurusan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah, untuk membuat penilaian kerosakan kemudahan asas seperti jambatan termasuk rumah penduduk yang musnah akibat banjir.

Hajiji berkata, kerajaan juga akan menyalurkan bantuan RM5,000 bagi membaiki kerosakan rumah serta beberapa lagi bantuan kewangan lain, merangkumi pembelian barang keperluan asas, membaiki kerosakan kenderaan serta bantuan wang ihsan RM1,000, kepada semua ketua isi rumah terjejas banjir.

โ€œBantuan kepada mangsa yang mengalami kerosakan rumah akan diberikan selepas laporan penilaian diserahkan oleh pegawai daerah selaku pengerusi jawatankuasa PKOB. Kerja-kerja penilaian kerosakan sedang dilaksanakan,โ€ katanya.

Hajiji turut memberi penghargaan dan mengucapkan terima kasih atas kerjasama diberikan oleh jabatan dan agensi terlibat, dalam memastikan pengurusan banjir efisien termasuk operasi menyelamat serta menyediakan keperluan mangsa di setiap PPS.

Sementara itu, tinjauan Bernama melalui udara turut mendapati keadaan banjir di Pitas dan Kota Marudu sudah semakin pulih dan air mulai surut, selain cuaca juga cerah pada sebelah pagi dan tengah hari tadi.

Hujan lebat berterusan sejak minggu lepas telah mengakibatkan Pitas, Kota Marudu, Paitan, Telupid, Beluran dan Sandakan dilanda banjir.

โ€” BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *