‘Elak makan berat-berat sebelum perlawanan’ – Kim Swee

PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mahu semua pemain The Rhinos menitikberatkan aspek pemakanan dengan lebih serius bagi menjaga tahap kecergasan ketika berpuasa sepanjang saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang berlangsung pada bulan Ramadan.

Malah beliau juga percaya para pemain kelab Kepulauan Borneo tersebut tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri bagi memastikan pasukan tetap konsisten menghadapi perlawanan dengan perubahan waktu sepak mula pada bulan Ramadan.

“Banyak aspek yang perlu kita fikirkan bukan sahaja dari segi waktu sepak mula tetapi aspek pemakanan di mana banyak yang perlu pemain ambil serius. Kita tahu puasa hanya untuk Muslim, tetapi pada masa sama ada pemain yang tidak berpuasa seperti pemain import, jadi sudah pasti waktu pemakanan mereka akan berbeza.

“Dan apa yang pemain makan itu adalah satu faktor paling penting sebab apabila kita beraksi jam 10 malam, berbuka jam 7.30 malam, jurang waktu dua jam setengah itu mereka tidak boleh makan makanan yang terlalu berat sebab ia akan beri impak yang berbeza.

“Tetapi, saya tidak perlu fikir perkara negatif mengenai situasi ini sebab semua pasukan pun akan bermain pada waktu yang sama, jadi pemain-pemain hanya perlu menyesuaikan dengan perkara yang telah ditetapkan ini,” kata pengendali berusia 51 tahun tersebut.

Untuk rekod dalam kempen Liga Super sebelum ini The Rhinos tewas 0-1 kepada Negeri Sembilan FC sebelum kembali garang apabila melakar kemenangan 3-1 ke atas PJ City FC pada 9 Mac lalu. -Sinarharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *