Penduduk dinasihatkan tidak jejaskan penggunaan pili bomba

KOTA KINABALU: Penduduk di kawasan yang mempunyai kemudahan pili bomba dinasihatkan supaya tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh menjejaskan penggunaan pili bomba.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Shahelmey Yahya berkata, penduduk kampung perlu memastikan alat berkenaan tidak terhalang akibat aktiviti penduduk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat ini berkata, jika perkara sedemikian berlaku, ia akan menyukarkan usaha memadam api semasa berlakunya musibah kebakaran.

Beliau berkata demikian selepas melawat kawasan perumahan atas air di Kampung Tanjung Aru di sini yang terlibat dalam kebakaran hingga memusnahkan sebanyak 33 rumah penduduk hari ini.

Hasil lawatan itu, pihaknya mendapati ada pili bomba yang terhalang disebabkan oleh aktiviti penduduk setempat dan menyukarkan pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman api.

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri akan mengambil data penduduk yang terlibat dalam kejadian itu untuk penyaluran bantuan yang sewajarnya.

Menurutnya, buat masa ini kebanyakan penduduk ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Sembulan.

“Bagi saluran bantuan lain, satu tempat yang berdekatan kawasan kebakaran di kenal pasti untuk memudahkan keluarga yang terlibat menerima bantuan.

“Kita sedang mengumpul data bagi melihat keadaan yang lebih jelas untuk memberikan bantuan yang sewajarnya kepada mangsa kebakaran,” katanya kepada media selepas lawatan itu.

Beliau berkata, dianggarkan lebih 60 keluarga yang terlibat dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 12.40 tengah malam tadi.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai isu mangsa kebakaran di Kampung Meruntum yang diarahkan keluar dari PPS, Shahelmey menjelaskan, sebenarnya tiada isu yang timbul dan hanya satu dua orang yang cuba membesarkan isu berkenaan.

“Dari awal pendaftaran sudah dimaklumkan tempoh untuk tinggal di dalam PPS dan kebanyakan mereka faham serta keluar dari PPS pada pagi Ahad lepas.

“Saya juga sudah berjumpa dengan mangsa yang terlibat untuk pemberian bantuan.

“Sepatutnya bantuan yang mereka perlu tunggu sekarang adalah proses bantuan kerajaan untuk membolehkan mereka bina semula rumah di kawasan yang terbakar,” jelasnya.

Berhubung isu penduduk rumah pangsa Tanjung Aru yang diarahkan keluar oleh Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), pihaknya baharu dimaklumkan mengenai perkara itu dan masih menunggu makluman yang lebih jelas untuk tindakan lanjut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *