Hajiji mahu JANS ambil serius isu bekalan air di Beaufort

BEAUFORT : Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menggesa Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) supaya lebih serius bagi mencari penyelesaian terhadap masalah bekalan air di Beaufort yang berlarutan sehingga kini.

Jelasnya, walaupun Beaufort sudah mempunyai loji air berkapasiti besar (Loji Air Jempangah) namun masalah sama tetap berlaku sama ada ketika banjir atau pun tidak.


“Saya mahu JANS ambil serius masalah ini. Loji ada tapi air tidak sampai ke rumah. Banjir tiada air, tiada banjir pun sama tiada air.


“Jadi saya harap mana-mana jabatan yang memberi perkhidmatan kepada rakyat di kawasan ini mesti melihat perkara-perkara di bawah jagaan mereka untuk kesejahteraan dan kepentingan rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Datuk Seri Panglima Dun Banir.


Bercakap mengenai penyelesaian masalah banjir, Hajiji berkata, jabatan-jabatan berkaitan khususnya Jabatan Parit dan Saliran (JPS) diminta untuk melihat isu berkenaan dan mencari solusi untuk masalah itu.

Katanya, sekiranya tidak secara tuntas, sekurang-kurangnya mampu mengurangkan risiko banjir yang sering berlaku di daerah ini sejak sekian lama hingga menjejaskan kehidupan penduduk.


“Jadi saya ingin minta jabatan berkenaan, JPS supaya mencari satu cara untuk kita menyelesaikan masalah ini, sekurang-kurangnya mengurangkan masalah banjir di Beaufort ini.

“Mungkin kalau terpaksa usaha meluruskan Sungai Padas ataupun lain-lain perkara kerana kita tahu setiap tahun begini sahaja keadaannya. Jadi ini (penyelesaian banjir) perlu rancangan teliti untuk jangka masa panjang yang perlu dibuat JPS atau jabatan berkaitan.


“Inilah yang kita akan lihat secara serius, secara keseluruhannya tetapi dalam usaha kita membantu mangsa-mangsa banjir ini kita akan lakukan mana yang perlu untuk meringankan bebanan mereka yang terjejas,” katanya.


Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong; Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Jury; Pembantu Menteri 1 Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih; Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah Datuk Matbali Musah, Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun dan Ahli Parlimen Sipitang, Hafez Musa serta Pengerusi Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Datuk Seri Panglima Lajim Ukin. – UTUSAN BORNEO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *