OP Bantu: Terkejut kehadiran polis ke rumah, rupa-rupanya menyampaikan bakul makanan

TAWAU, 8 JULAI 2021: Op Bantu yang mula digerakkan semalam atas keprihatinan Kementerian Dalam Negeri menerusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan RELA, menjejaki keluarga yang terjejas pendapatan akibat pandemik COVID-19.

Ada dikalangan penerima bantuan melalui Op Bantu ini mengakui pada mulanya mereka terkejut dengan kehadiran pihak polis ke rumah kerana disangka ada melakukan kesalahan disebaliknya.

Bagaimanapun, selepas diberitahu kunjungan Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Ak umbuas bersama Pegawai Turus Kepolisan Komuniti IPK Sabah, Superintendan Hjh Ummi Kalsom, pegawai RELA, pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau adalah menyampaikan bantuan bakul makanan, perasaan terkejut bertukar teruja tanda kesyukuran.

Inisiatif yang diketuai Ketua Polis Daerah Tawau ini adalah bertujuan untuk meringankan beban golongan yang terjejas akibat penularan COVID-19 selaras dengan komitmen kerajaan membantu rakyat dan memastikan kejayaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) berjalan lancar.

“Op Bantu ini bertujuan untuk memberi bantuan segera kepada individu terputus bekalan makanan khususnya di daerah ini, operasi penyaluran bantuan ini dilaksanakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA),” katanya ketika menyampaikan sumbangan kepada penerima bantuan di kampung Tanjung Batu Keramat dan kampung Lundayeh Tuk Richard, Taman Nordin ,Tawau.

Turut bersama dalam Op Bantu Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti, DSP Nasir Bin Muslen, AMANITA IPD Tawau dan anggota RELA.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *