ADUN Pintasan gesa pemimpin masyarakat jalankan tanggungjawab tanpa lihat perbezaan politik

KOTA KINABALU: Semua pemimpin masyarakat khususnya di Pintasan diseru untuk menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan tanpa melihat perbezaan fahaman politik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Fairuz Renddan berkata pemimpin masyarakat yang dilantik adalah perantara yang menjadi wakil dalam komuniti antara kerajaan dan masyarakat.

“Perantara ini adalah mata dan telinga kerajaan yang memantau dan membawa permasalahan masyarakat kepada kerajaan, untuk diselesaikan.

“Untuk itu, fokus utama mereka ialah berkhidmat untuk masyarakat, dari dalam komuniti dan tidak menjadikan perbezaan fahaman politik sebagai ‘pegangan’ dalam melaksanakan amanah yang dipikul,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Dalam pada itu, Fairuz turut mengingatkan pemimpin masyarakat untuk sentiasa peka dan mengikuti perkembangan semasa.

“Sebagai pemimpin dalam masyarakat, wajar untuk mereka sentiasa peka dan mengikuti semua perkembangan semasa seperti kesulitan masyarakat akibat bencana alam, pandemik COVID19 dan pastinya perlu cekap dalam menguruskan masalah masyarakat dengan idea-idea kreatif dan bernas.

“Tentunya sumbangan idea dari pemimpin masyarakat adalah penting dalam usaha Kerajaan Negeri untuk terus membangunkan Sabah dan pulih dari pelbagai sudut terutama sekali selepas kemerosotan ekonomi akibat daripada penularan pandemik COVID19,” katanya.

Fairuz turut mengajak pemimpin masyarakat untuk sentiasa komited dan berpegang kepada prinsip dan integriti dalam usaha untuk membantu komuniti di kawasan.

“Ketua Menteri kita, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor juga turut berpesan bahawa semua pemimpin masyarakat perlu memberi khidmat terbaik kepada rakyat dan sekiranya gagal melaksanakan tanggungjawab, tindakan akan diambil.

“Selain itu, ini juga penting kerana pemimpin masyarakat diibaratkan juga sebagai akar yang mencengkam bumi, yang berada di bawah tapi menjadi tunjang kepada kekuatan bagi sebatang pokok yang tegak berdiri,” katanya.

Jumaat lepas, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Pintasan telah menyerahkan watikah perlantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi kawasan itu kepada Pemaju Mukim Peladok Adnian Kasiran, Pemaju Mukim Rampayan Anwar Hasan dan Pemaju Mukim Timbang Florenza Vivianne Joelin.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *