OP Bantu: Terima Kasih IPD Penampang

PENAMPANG, 8 Julai 2021: ‘Sangat bersyukur dan terima kasih tidak terhingga’. Begitulah luahan hati Deborah Sabinus, 24, yang menjadi antara penerima bantuan bakul makanan dalam pelaksanaan Op Bantu, oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, hari ini.

Suri rumah yang baru melahirkan anak itu berkata, bantuan berkenaan yang hampir terputus bekalan keperluan harian mereka sekeluarga akibat terjejas oleh pandemik covid-19.Katanya, suami sebelum ini bekerja sebagai pekerja am namun diberhentikan kira-kira tiga bulan lalu oleh majikan.

“Suami saya terpaksa melakukan kerja-kerja kampung termasuk mengendalikan tanah perkuburan buat masa ini demi menyara hidup kami sekeluarga.

“Namun, pendapatan yang ada kini tidak menentu dan sangat memberi kesan kepada kami sekeluarga ,” katanya ketika penyerahan bantuan bakul makanan, hari ini.

Deborah berkata, dia dan suami perlu menyara empat anak termasuk seorang orang kelainan upaya (OKU) berusia lapan tahun selain anak bongsu yang baru berusia dua bulan.

Katanya, inisiatif kerajaan yang disampaikan melalui Op Bantu menerusi IPD Penampang itu amat besar maknanya kepada mereka sekeluarga.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, seramai 20 isi rumah di sekitar Daerah Penampang dan Putatan telah mendapat bantuan bakul makanan sejak pelaksanaan Op Bantu secara serentak di seluruh negara semalam.

Katanya, IPD Penampang akan meneruskan program ini dari semasa ke semasa kepada pihak yang dikenalpasti berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada masyarakat setempat serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Berdasarkan maklumat yang diterima, kita akan membuat penilaian dan menyalurkan bantuan seperti mana dikehendaki. Kita percaya ramai golongan isi rumah yang terjejas sepanjang pandemik Covid-19 ini.

“Mereka sememangnya sangat memerlukan bantuan daripada inisiatif ini sebagai survival untuk meneruskan kehidupan sekeluarga,” katanya.

Op Bantu ini merupakan inisiatif daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Skuad Aman Wanita (AMANITA) dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan turun padang untuk mengagihkan bantuan bakul makanan kepada golongan yang memerlukan.

Seiring dengan slogan “Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada”, perlaksanaan Op Bantu ini mencerminkan keprihatinan jabatan dan agensi penguatkuasaan dalam membantu golongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *