MoU UMS-LPSVN bakal bangunkan ekosistem seni visual negara
KOTA KINABALU: Perjanjian Persefahaman (MoU) yang dimeterai di antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) usaha untuk mendorong pembangunan ekosistem seni visual negara.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor yang juga Pro Canselor UMS menyaksikan majlis menandatangani memorandum MoU berkenaan bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri di sini hari ini.
MoU itu melibatkan usaha menggalak, mempromosi dan mendorong pembangunan ekosistem seni visual negara. Kerjasama yang bakal dilaksanakan adalah menerusi Galeri Azman Hashim UMS yang mula dibina pada 2017 dan siap sepenuhnya tahun lepas.
LPSVN adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) diwakili oleh Ketua Pengarah LPSVN Amerrudin Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Alizam Hasan.
UMS pula diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Prof. Madya Dr. Raman Noordin dan Pengarah Galeri Azman Hashim Sarlona Gindug.
Azman Hashim yang juga Pro-Canselor UMS menyumbang sebanyak RM15 juta bagi pembinaan galeri berkenaan yang berperanan menjadi pusat sehenti bagi aktiviti pameran, program, simposium dan konferensi mengenai seni visual.
Malah, perkongsian mengenai penyelidikan seni, koleksi dan aktiviti konservasi karya seni dapat diadakan bagi perkembangan seni dan budaya.
Nancy berkata, dengan adanya Galeri Azman Hashim UMS ini, diharapkan aktiviti kesenian di Sabah dapat disuburkan dan dirancakkankembali dalam usaha mendukung industri pelancongan selain menjadi tarikan baharu kepada peminat seni tempatan.
“Dengan termeterainya MoU ini juga, kerjasama di antara dua organisasi dapat dilaksanakan melalui perkongsian data serta maklumat secara lebih strategik dan lestari mengenai kesenian dan budaya negara.
“Menerusi kepakaran dan kemahiran yang terdapat di LPSVN, data serta maklumat berkenaan seni visual akan dikongsi dan ditambah nilai melalui Galeri Azman Hashim UMS,” katanya.
Pada majlis yang sama, Balai Seni Negara turut merasmikan inisiatif baharu melalui program Jejak Seni Malaysia dalam memetakan ekosistem seni di seluruh negeri di Malaysia.
Antara yang tersenarai termasuklah Galeri Azman Hashim UMS dan Balai Seni Lukis Sabah yang mampu menjadi tarikan pelancongan seni selain daripada 59 lokasi secara keseluruhan bagi negeri Sabah yang meliputi karya awam, lorong seni, galeri, studio, dan residensi.
“Dengan adanya pemetaan ini, kesinambungan seni serta budaya dapat menyokong mempromosi serta meningkatkan ekonomi dan ekosistem seni negara.
“Kerjasama ini adalah antara langkah pelan pemulihan sektor pelancongan seni serta ekonomi yang sekali gus bakal memberi impak positif kepada industri seni visual negara.
“Ia juga diharapkan dapat memacu pertumbuhan industri khususnya pelancongan domestik di Sabah,” jelasnya.
Terdahulu, Hajiji menerima kunjungan hormat daripada Nancy dan rombongan di pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS).
Rombongan Nancy terdiri daripada Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Senator Datuk Guan Dee Koh Hoi; Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Mohd Zamri Mat Zain; Setiausaha Bahagian Dasar Pelancongan Dr. Tan Awang Besar; dan Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Sabah Ibrahim Othman.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Dr. Jamili Nais.
Hajiji turut menghadiri Majlis Pelancaran Kerangka Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya Marriott Hotel Putrajaya secara maya. – Utusan Borneo