Cadangan Pelan Pembangunan di Kompleks Sukan Kota Kinabalu – Sports City
YB Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin telah mempengerusikan mesyuarat Cadangan Pelan Pembangunan Semula Kompleks Sukan Kota Kinabalu – Sports City di Bilik Mesyuarat 2, KBSS, Wisma Muis.
Cadangan pelan pembangunan tersebut telah dibentangkan oleh Pengurus Besar Lembaga Sukan Sabah (LSS), Tn Terrance Edward Pudin.
“Cadangan pelan pembangunan Kompleks Sukan Sabah ini pastinya akan memberikan impak yang besar dalam arena sukan Sabah, iaitu menjadikan Sabah sebagai salah satu hub industri sukan di Malaysia selain menjanjikan pulangan lumayan kepada kerajaan negeri seperti peluang perniagaan dan pekerjaan khususnya untuk rakyat di negeri ini” kata Datuk Ellron.
“Namun begitu, cadangan ini masih lagi dalam tahap penelitian oleh pihak Kami kerana ianya memerlukan banyak proses penambahbaikan sebelum perkara ini dibawa ke Jemaah Menteri Negeri” Tambah beliau.
Mesyuarat ini turut dihadiri oleh Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) YBhg. Tn Sr. Mohd.Yusrie Abdullah, Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah, Tn Asneh Haji Awan, Timbalan Setiausaha Tetap KBSS, Tn Putera Jali, Wakil-wakil daripada agensi kerajaan seperti Kementerian Kewangan, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu(DBKK), JabatanTanah dan Ukur(JTU) Sabah, Unit Perancangan Ekonomi Sabah (UPEN) serta pegawai-pegawai KBSS.