Lebih setengah bilion ringgit untuk pengeluaran makanan di Sabah
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperuntukkan RM561.81 juta untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil sektor pertanian serta perikanan di negeri itu pada tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, berkata peruntukan itu juga bagi memastikan tahap sara diri (SSL) pengeluaran bahan makanan Sabah ditingkatkan setiap tahun melalui pelbagai inisiatif pemodenan.
Beliau berkata penekanan turut diberikan terhadap sektor pertanian yang meliputi tanaman, penternakan dan perikanan sebagai sektor ekonomi utama di samping perindustrian dan pelancongan dalam Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) selama lima tahun bermula pada 2021.
Katanya, Sabah kekal antara pengeksport utama hasil ikan segar di Malaysia yang menyumbang RM2.03 bilion atau kira-kira 15.7 peratus setahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri.
“Kerajaan negeri memberi tumpuan kepada pemprosesan hiliran untuk hasil perikanan menjadi produk berkualiti tinggi.
“Dengan penurunan kuasa perikanan laut dalam oleh kerajaan persekutuan kepada Jabatan Perikanan Sabah, wujud potensi besar untuk pelabur menceburi industri perikanan laut dalam dan hiliran yang berkaitan,” katanya pada pelancaran Pameran Ternakan, Akuakultur dan Pertanian (LAA Sabah) ke-12 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Teks ucapannya dibacakan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan negeri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.
Hajiji berkata prospek sektor ternakan Sabah juga kekal cerah berikutan pengembangan dan penambahbaikan dalam strategi utama yang dijangka akan meningkatkan sistem rantaian nilai keseluruhan industri itu.
“Menjelang 2030, populasi kerbau dan lembu di Sabah masing-masing disasar sebanyak 26,248 dan 148,305 ekor.
“SSL bagi daging lembu diunjurkan meningkat sepanjang tempoh itu sehingga mencapai 21.3 peratus menjelang 2030,” katanya.
Katanya, sekarang juga adalah masa yang sesuai untuk melihat Malaysia Timur sebagai pasaran pesat untuk pertanian, penternakan dan perikanan serta akuakultur berdasarkan jumlah keseluruhan penduduk Sabah, Sarawak dan Labuan seramai enam juta pada 2021.
Sektor pertanian Sabah saja, katanya menyumbang sebanyak 15.9 peratus kepada KDNK negeri pada 2021, iaitu sumbangan ketiga tertinggi selepas sektor perkhidmatan (47 peratus) serta perlombongan dan kuari (26 peratus).
Mengenai LAA Sabah yang diadakan serentak dengan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022, Hajiji percaya ia akan menjadi platform yang besar maknanya kepada peserta untuk membangunkan perkongsian perniagaan, membina rangkaian baharu dan mengikuti aliran industri terkini.
“Saya yakin sektor pertanian akan terus berjaya walaupun terdapat beberapa isu dan cabaran. Ia akan terus berkembang dengan komitmen dan usaha kerajaan dalam mentransformasikan sektor ini ditambah dengan perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi,” katanya. -BH