Kerajaan komited hapuskan jurang pembangunan Semenanjung, Sabah – PM

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengulangi komitmen kerajaan Pusat untuk menghapuskan jurang pembangunan di antara Semenanjung dengan Sabah.

Beliau berkata, pelbagai usaha dilaksanakan untuk mencapai usaha itu sejajar dengan harapan untuk menyaksikan Sabah dan Sarawak turut menikmati pembangunan yang pesat.

Katanya, ia termasuk projek Lebuhraya Pan Borneo yang dijangka selesai dalam tempoh lima tahun lagi dan menyelesaikan isu sekolah daif di Sabah dengan peruntukan RM1.02 bilion.

“Sememangnya menjadi harapan Kerajaan Persekutuan untuk menyaksikan Sabah dan Sarawak turut bersama-sama menikmati pembangunan yang pesat seperti mana juga negeri lain.

“Kerajaan sedang berusaha menghapuskan jurang pembangunan antara Semenanjung dengan Sabah dan kewujudan rangkaian Lebuhraya Pan Borneo tanpa tol antara usaha yang mampu mengubah seluruh kawasan di Sabah dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor.

Ismail Sabri berkata dalam bidang pendidikan tumpuan diberikan terhadap usaha membaiki dan membina semula sekolah daif di kawasan pedalaman Sabah.

“Saya difahamkan Kementerian Pendidikan mengamanahkan 113 sekolah daif di Sabah kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan JKR Sabah sebagai agensi pelaksana untuk menaik taraf sekolah itu dengan kos RM1.02 bilion,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri sedang menyelaras dan memudah cara Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) di Sabah.

Ketika ini, katanya kerajaan sedang mengadakan sesi libat urus yang menyeluruh dengan kerjasama kerajaan negeri dan pejabat daerah bagi mendapatkan input semua pihak, termasuk di peringkat akar umbi bagi mencapai sasaran sifar kemiskinan tegar pada 2025.

“Di bawah fasa pertama BMTKM, sebanyak 10 lokaliti di Sabah dikenal pasti iaitu di Tongod, Pitas, Kota Belud, Kota Marudu, Beluran, Nabawan, Tuaran, Sipitang, Beaufort dan Ranau.

“Sebelum ini, program membasmi kemiskinan dilaksanakan secara ‘silo’ di hampir semua agensi yang terbabit.

“Namun, di bawah program BMTKM, EPU dan ICU akan menjadi penyelaras menggabungkan semua pihak yang terlibat seperti kementerian, kerajaan negeri, ahli akademik, pihak swasta dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) untuk mencari kaedah terbaik bagi menghapuskan miskin tegar secara holistik berasaskan lokaliti,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *