Ibu tunggal terima rumah baharu

Oleh: Ranya Saai

BEAUFORT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Ruslan Muharam menyerahkan sumbangan kepada seorang ibu tunggal, Junaidah Jafar yang bakal memiliki rumah baharu dalam Program Rumah Teratak Prihatin di Kampung Lubok, dalam kawasan Lumadan.

Menurutnya, sumbangan itu merupakan sumbangan kedua selepas seorang lagi ibu tunggal bersama anak orang kelainan upaya (OKU) menerima bantuan di bawah program rumah teratak prihatin di kampung Luagan Sanginan.

“Saya sangat berharap agar tahun ini kita mampu membantu lebih ramai golongan sebegini yang memerlukan rumah.

“Pastinya usaha ini akan diteruskan lagi dengan adanya kerjasama daripada banyak pihak, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan juga ahli perniagaan,” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia Sabah (YADIM) Samin Ongki dan Pengerusi Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Limauan, Papar Osman Hamid.

Terdahulu, Ruslan turut menyampaikan 94 buah bantuan bakul makanan e-Kasih kepada Ketua Isi Rumah (KIR) golongan B40 yang membabitkan tiga buah kampung.

Antaranya ialah Kampung Lingkungan Laut, Kampung Lingkungan Ulu dan Kampung Inuman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *