Musnah 22 babi di Pitas, kekang ASF: Jeffrey

Oleh: Ranya Saai

KOTA KINABALU: Sebanyak 22 ekor babi di sebuah kampung di Pitas telah dimusnahkan dalam fasa pertama bagi mengekang penyebaran Demam Babi Afrika (ASF) di daerah terbabit.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Negeri, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan berkata lebih banyak babi akan dimusnahkan dengan kadar segera.

“Selain itu, babi liar dan babi jalanan akan dipertimbangkan untuk dimusnahkan terdapat keperluan berbuat demikian bagi memastikan ASF tidak merebak ke daerah berdekatan.

“Diangggarkan sekitar 2,000 ekor babi di Pitas dan sekitar seribu ekor babi berjanggut yang liar dalam radius 50 kilometer (KM) juga akan dimusnahkan,” katanya dalam satu kenyataan media disini hari ini.

Menurut Jeffrey, pada masa yang sama, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah telah melaksanakan kempen di 25 buah kampung bagi meningkatkan kesedaran komuniti mengenai ASF.

“Ia merupakan sebahagian daripada jumlah keseluruhan 182 kampung di mana kempen akan dilaksanakan kelak. Walau bagaimanapun, jabatan telah terlebih dahulu melaksanakan kempen yang serupa menerusi laman media sosial,” katanya.

Dalam pada itu, Jeffrey turut memberitahu bahawa kementerian juga akan meningkatkan pengawasan di luar Pitas dan setakat ini, pihaknya menerusi DVS telah mengumpulkan 120 sampel dari pelbagai daerah bagi mengesan ASF di seluruh Sabah.

Menurutnya, persampelan turut diperoleh dari rumah penyembelihan babi, pusat penjualan daging babi komersial dan penjual babi berjanggut salai liar (sinalau bakas) di seluruh negeri.

Jelas Jeffrey lagi, sekiranya virus dikesan di luar Pitas, daerah yang terlibat akan diisytiharkan sebagai kawasan wabak ASF selaras dengan Enakmen Haiwan 2015 di mana akan memberi pihak DSV kuasa sepenuhnya untuk menjalankan mekanisme pengurusan penyakit melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

“Fokus sekarang adalah untuk menghalang virus itu merebak di luar Pitas. Namun, jika ini berlaku, kami akan melakukan segala yang kami mampu bagi memastikan pengeluaran babi di Sabah tidak terjejas,” katanya.

Jeffrey turut mengingatkan semua pengendali daging babi komersial agar meningkatkan pengurusan keselamatan di ladang masing-masing dan melaporkan semua kematian kepada DVS bagi tujuan siasatan.

Sementara itu, mengulas mengenai penemuan seekor babi berjanggut liar yang mati di sebuah resort di Kinabatangan, DVS dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar Sabah telah menubuhkan sebuah pasukan untuk mengumpulkan sampel dan menyiasat penyebab kematian babi tersebut.

“Hasil ujian makmal dijangka diperoleh pada hari Selasa minggu depan. Saya ingin mengingatkan orang ramai bahawa tiada ubat atau vaksin bagi mengubati ASF.

“Walau bagaimanapun, virus ini bukan penyakit zoonotik di mana ia tidak akan merebak kepada manusia,” ujar beliau lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *