Pandu Toyota Land Cruiser secara mengundur, pemandu ditahan

SANDAKAN: Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, suspek, 44 tahun berjaya ditahan di bandar ini bersama kenderaan pacuan empat roda Toyota Land Cruiser.

Menurutnya, pada pagi Ahad tular video kenderaan itu dipandu secara mengundur di atas jalan raya.

“Pihak Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis (IPD) Sandakan, kemudiannya bertindak pantas menyiasat kesahihan video tersebut.

“Hasil siasatan, kejadian tersebut memang benar berlaku di persimpangan lampu isyarat Bandar Kim Fung jam kira-kira jam 10 pagi, Ahad.

“Susulan itu, polis juga telah berjaya mengesan kenderaan serta pemandu tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, pemandu tersebut memberikan alasan kenderaan berkenaan mengalami kerosakan pada kotak gear.

“Ia menyebabkan kenderaan terpaksa dipandu secara mengundur.

“Bagaimanapun, tindakan sedemikian membahayakan dirinya dan juga pengguna jalan raya yang lain.

“Kes disiasat dibawah Sek 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, kerana memandu secara melulu dan merbahaya,” katanya.

Katanya, pemandu yang mengalami kerosakan kenderaan, dinasihatkan untuk menggunakan khidmat kereta penunda untuk menunda kenderaan ke bengkel sekiranya mengalami situasi sedemikian, demi keselamatan bersama.

Pada Ahad, tular tiga klip video memaparkan sebuah kenderaan dipandu secara mengundur di beberapa lokasi berbeza di Bandar Sandakan. – CARETA.MY

Leave a Reply

Your email address will not be published.