Rakyat Sabah dari Brunei dibenarkan masuk tanpa jalani kuarantin wajib

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri telah bersetuju untuk memberi kebenaran kepada rakyat Sabah yang berada di negara Brunei Darussalam untuk masuk ke sini tanpa perlu menjalani kuarantin wajib.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata walau bagaimanapun, individu yang ingin masuk ke Sabah masih tertakluk dengan prosedur operasi standard (SOP) melakukan ujian saringan COVID-19 terlebih dahulu.

“Individu tersebut diwajibkan menjalani ujian saringan RT-PCR atau RTK-Ag COVID-19.

“Keputusan ujian saringan tersebut mestilah dalam tempoh satu hingga tiga hari sebelum perjalanan masuk ke Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media mengenai perkembangan harian COVID-19 yang dikeluarkan, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Masidi sebelum ini telah mengumumkan pihaknya telah memberi kebenaran individu dari Brunei Darussalam memasuki Sabah menerusi jalan darat atau udara ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

Ini berikutan negara Brunei tidak termasuk dalam senarai 23 buah negara yang disekat kemasukan ke Malaysia.

Dalam kenyataan media yang sama, Masidi turut memaklumkan saringan COVID-19 secara besar-besaran telah dibuat
di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau bermula hari ini.

Katanya, hasil saringan tersebut dijadualkan akan diketahui esok sekaligus bakal menyumbang kepada pertambahan statistik kes baharu di daerah Tawau.

Hari ini, Sabah mencatatkan jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 260 kes dengan tiga kes kematian dicatatkan di Sandakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *