Kerajaan negeri sentiasa beri keutamaan kebajikan masyarakat luar bandar Sabah

RANAU: Kebajikan masyarakat luar bandar sentiasa diberi keutamaan oleh kerajaan negeri Sabah agar golongan terbabit tidak tercicir daripada arus pembangunan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata pihaknya akan memastikan setiap lapisan masyarakat terutamanya di luar bandar akan menikmati manfaat semua program pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Bagi pihak kerajaan negeri, kita akan sentiasa menitikberatkan kebajikan rakyat luar bandar dan akan memastikan tidak ada pihak yang tercicir daripada arus pembangunan.

“Selain bantuan kerajaan, usaha daripada komuniti itu sendiri penting dalam membaiki kehidupan dan meningkat pembangunan dalam kampung melalui pelbagai aktiviti yang bermanfaat,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengalu-alukan usaha pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu usaha kerajaan bagi meringankan beban rakyat.

Dr. Jaochim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang berkata demikian ketika berucap dalam majlis bersama rakyat dan Penyerahan Kunci Rumah Mesra OKU kepada Ajidey Pulis di Kampung Mesilau di sini, hari ini.

Dalam ucapannya itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada penduduk kampung tersebut yang bekerjasama membina rumah terbabit.

“Usaha itu wajar dipuji kerana ia melambangkan sikap keprihatinan penduduk dalam membantu antara satu sama lain tanpa memilih latar belakang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *