Beri kerjasama untuk Program Imunisasi COVID19 Kebangsaan: Noraini

Oleh: Ranya Saai

KOTA KINABALU: Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Noraini Ahmad menyeru semua rakyat Malaysia untuk memberi kerjasama untuk Program Imunisasi COVID19 Kebangsaan yang bakal dilaksanakan kelak.

Katanya, sebanyak RM2.5 billion (jumlah awal) dibelanjakan bagi mendapatkan vaksin yang akan diberikan secara percuma itu dan semuanya adalah bertujuan untuk memberi sinar baru kepada rakyat Malaysia untuk bebas daripada COVID19.

“Ketibaan vaksin Pfizer-BioNTech di Malaysia memberikan sinar baharu dalam perjuangan negara menentang dan melandaikan pandemik COVID19.

“Perbekalan vaksin COVID19 ini merupakan usaha besar kerajaan dalam menjaga kesihatan dan kebajikan rakyat dan kerana itu Wanita UMNO Malaysia amat berharap agar seluruh rakyat dapat memberi kerjasama dalam usaha menjayakan suntikan vaksin itu kelak, demi melindungi diri kita sendiri, insan sekeliling kita dan komuniti kita secara keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan media disini hari ini.

Dalam pada itu, Noraini turut memberitahu bahawa pihaknya yakin kerajaan telah mempertimbangkan segala aspek sebelum mendapatkan vaksin tersebut dan menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan negara.

“Wanita UMNO juga ingin menzahirkan sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pasukan barisan hadapan yang sentiasa tekun dan berdedikasi dalam menjaga kesihatan rakyat Malaysia dikala menghadapi cabaran pandemik COVID19,” ujar beliau lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *