Belanjawan Negeri 2021 bukti kerajaan fokus kukuh ekonomi dan kesejahteraan rakyat Sabah
KOTA KINABALU: Pembentangan Belanjawan Negeri Sabah 2021 disifatkan sebagai bentuk kesungguhan kerajaan negeri untuk fokus dalam mengukuhkan dan membina ketahanan ekonomi negeri serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Fairuz Renddan berkata tahun ini merupakan tahun yang mencabar dimana kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjuang untuk pulihkan ekonomi dan juga kesejahteraan rakyat pada masa sama.
“Tahun 2020, adalah tahun yang mencabar dan setelah Kerajaan Negeri diambil alih oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sejak September lalu, fokus utama yang menjadi perjuangan GRS adalah untuk memulihkan, mensejahterakan dan mengangkat semua suara dan permasalahan rakyat seluruh Sabah.
“Saya pertama kali berdiri di Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini sebagai wakil rakyat bagi kawasan saya (DUN Pintasan) dan saya juga mempunyai harapan yang sangat besar untuk rakyat di kawasan saya dan di seluruh Sabah secara amnya kerana cabaran di tahun 2020 ini amat memberi kita pengajaran besar dan memupuk semangat kerjasama, habis-habisan untuk rakyat Sabah,”katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berkata segala pengumuman dan peruntukan agihan yang telah dibentangkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor adalah amat bersesuaian kerana meliputi aspek seperti menangani pandemik COVID-19 dan membina semula ekonomi negeri yang terjejas secara langsung.
Fairuz yang merupakan Ketua ARMADA BERSATU Sabah juga memberitahu bahawa semua pemimpin komponen GRS nyata mempunyai kekuatan dan kemahiran masing-masing yang mampu dimanfaatkan demi membawa perubahan positif kepada pemulihan ekonomi rakyat.
“Ketua Menteri kita, Datuk Seri Hajiji, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Bung Moktar Radin, Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, Timbalan Ketua Menteri III Datuk Dr Joachim Gunsalam dan semua Menteri-Menteri serta Ahli-Ahli yang berhormat masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri yang mana apabila semua ini bergabung bersama, sudah pasti kita dapat membawa perubahan positif kepada rakyat.
“Ini selaras dengan tema Belajawan Negeri Sabah 2021 iaitu ‘Rakyat Sejahtera, Ekonomi Mampan’ dan tentunya mampu perancangan kita untuk memperkenalkan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya Pelan (SMJ) 2021-2025 akan tercapai,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.