Sabah sedia laksanakan Program Imunisasi COVID19 Kebangsaan

Oleh: Ranya Saai

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah mengambil langkah persediaan untuk memastikan Program Imunisasi COVID19 Kebangsaan di peringkat negeri Sabah berjaya dilaksanakan.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata pihaknya telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID19 dibawah seliaan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong.

Di samping itu katanya pegawai daerah serta pemimpin masyarakat akan melaksanakan peranan mereka masing-masing di peringkat akar umbi dalam menjayakan program terbabit.

“Sabah telah melaksanakan persediaan yang perlu dan bersedia untuk menjayakan program ini ,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mesyuarat secara libat urus menerusi persidangan video bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, hari ini.

Dalam pada itu, bersetuju dengan Khairy mengenai keperluan untuk mewujudkan unit bergerak untuk memudahkan urusan pemvaksinan dan pendaftaran penerima vaksin di kawasan yang jauh dari pusat vaksin.

Hajiji juga memberitahu bahawa hebahan maklumat dalam pelbagai bahasa etnik Sabah juga turut dilaksanakan menerusi Jabatan Penerangan mengenai program terbabit, khasnya untuk memberi kefahaman kepada masyarakat di peringkat akar umbi.

“Vaksin Pfizer-BioNTech telah tiba di Sabah hari ini dan ia akan disusuli program vaksinasi yang akan dilaksanakan dalam tiga fasa dengan yang pertama untuk barisan hadapan iaitu seramai 104,130 orang.

“Fasa kedua akan membabitkan golongan berisiko tinggi (268,000 orang) dan fasa ketiga untuk mereka yang berumur 18 tahun ke atas yang dianggarkan seramai 2.7 juta orang.

“Setakat ini, hanya 30 peratus warga emas berusia 60 tahun dan ke atas telah mendaftar dalam aplikasi MySejahtera untuk program imunisasi di Sabah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *