11.3 peratus kanak-kanak Sabah terima vaksin

KOTA KINABALU: Seramai 45,381 atau 11.3 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Sabah sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19 melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids).

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata jumlah itu adalah daripada jumlah keseluruhan 411,400 kanak-kanak dalam kumpulan sasar di negeri ini yang layak divaksin, setakat ini.

“Sebanyak 246 kes hari ini membabitkan kanak-kanak bawah umur 11 tahun yang belum divaksin, dengan 121 daripadanya adalah kanak-kanak bawah umur lima tahun yang belum layak mendapat vaksin,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Masidi berkata, bagi penduduk remaja di Sabah pula seramai 313,653 atau 73.59 peratus sudah menerima dua dos vaksin lengkap.

Sementara itu, seramai 2,099,720 individu atau 77.29 peratus penduduk dewasa Sabah sudah menerima dua dos vaksin lengkap.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, berkata jumlah kes harian COVID-19 semalam kekal mencatatkan sebanyak empat angka.

“Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 2,174 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 339,554 kes.

“Sebanyak 11 kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu tiga kes di Tawau, dua kes di Penampang dan masing-masing satu kes di daerah Ranau, Nabawan, Kudat, Beaufort, Keningau dan Kota Kinabalu.

“Pesakit sedang menerima rawatan seramai 1,739 iaitu 1,105 orang di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam (622), Pusat Tahanan Sementara (PTS) (11) dan satu seorang di fasiliti swasta,” katanya. -BH 11.3 peratus kanak-kanak Sabah terima vaksin (bharian.com.my)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *