Penjenamaan GRS penting demi kestabilan politik – Masiung
KOTA KINANALU: Pendaftaran secara rasmi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat sebagai pakatan politik yang mampu mengukuhkan entiti perpaduan di kalangan parti komponennya di Sabah.
Wakil Rakyat (Bebas) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, penjenamaan GRS penting demi kestabilan politik membolehkan kerajaan merancang pembangunan dan meningkatkan ekonomi negeri.
Menurutnya, rakyat Sabah harus menerima baik pendaftaran GRS sebagai pakatan domestik kerana sebelum didaftarkan ia dilihat satu gabungan longgar ketika dibentuk menghadapi Pilihanraya Negeri (PRN) pada 2020 menerusi kerjasama Pakatan Nasiinal (PN), Barisan Nasional (BN) dan parti Bersatu Sabah (PBS).
” Walaupun pada masa ini saya Wakil Rakyat Bebas yang menyokong kepimpinan Ketua Menteri Datuk Hj Hajiji Noor, namun tidak mustahil saya akan menganggotai salah satu parti politik tempatan suatu ketika nanti, ” jelasnya.
Bagaimanapun beliau tidak menyatakan parti mana yang bakal menarik perhatian beliau untuk disertai.
” Nantilah… tiba masanya saya akan beri tahu anda, parti mana yang akan saya disertai setelah mengambil keputusan yang matang, ” jelasnya Masiung.
Ketika ditanya sama ada keputusan PRN di Johor akan memberi sebarang kesan ke atas Sabah, Masiung berkata ‘lain negeri, lain isunya’.
Cadangan mendaftarkan GRS secara rasmi timbul berdasarkan pendekatan di Sarawak yang dilihat berjaya mewujudkan kestabilan politik menerusi pembentukan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Masiung turut menyokong pendirian Ketua Menteri yang tidak tergesa-gesa mengumumkan penyertaan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) pimpinan Datuk Peter Anthony dalam GRS kerana perlu mendengar perincian daripada anggota parti-parti komponen terlebih dahulu.
GRS kini dianggotai BERSATU, PN PBS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan PAS, selain BN Sabah merangkumi UMNO, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), MCA, MIC dan Wakil Rakyat Bebas mesra GRS.
Masiung yakin pendaftaran rasmi GRS sebagai pakatan parti-parti politik di negeri ini akan mampu membawa perubahan besar ke atas kestabilan politik untuk jangka masa panjang. – Sabah360