Hajiji cemerlang menerajui pentadbiran negeri Sabah dalam memastikan ekonomi, politik & sosial stabil – Juhar

KOTA KINABALU: Sabah berada pada landasan yang tepat ke arah pemulihan dan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik. Ini dapat digambarkan melalui asas-asas sosioekonomi yang kekal stabil dan semakin mengukuh.

Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin berkata pembukaan semula sektor-sektor ekonomi dan aktiviti-aktiviti sosial serta pelaksanaan pelbagai inisiatif dan projek pembangunan berimpak tinggi di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (Hala Tuju SMJ 1.0, 2021-2025) dan RMK12 pastinya merancakkan semula aktiviti dalam sektor-sektor ekonomi yang sebelum ini terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Justeru, saya yakin negeri Sabah akan mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih baik pada tahun ini sejajar dengan prospek pemulihan ekonomi di peringkat nasional dan global.

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah atas kecemerlangan menerajui pentadbiran negeri Sabah dan memastikan keadaan ekonomi, politik dan sosial negeri Sabah kekal stabil, aman dan makmur terutamanya ketika negeri ini berhadapan dengan situasi getir semasa pandemik COVID-19,” katanya.

Tun Juhar berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar kerajaan pada Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Keenam Belas di bangunan DUN Sabah di sini, hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas bantuan dan sokongan berterusan yang diberikan kepada negeri Sabah untuk merancakkan pembangunan di negeri ini.

Katanya kesungguhan Kerajaan Persekutuan untuk memajukan negeri Sabah tercermin melalui pemberian peruntukan pembangunan yang
besar di bawah RMK12 dan Belanjawan Negara Tahun 2022.

Menurutnya kerajaan Negeri akan memastikan peruntukan ini dibelanjakan secara efisien untuk pelaksanaan pelbagai projek pembangunan berimpak tinggi meliputi pelbagai sektor di negeri ini.

Selain itu, katanya, pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan pelbagai pakej rangsangan ekonomi oleh Kerajaan Persekutuan membantu merancakkan semula aktiviti bagi sektor-sektor ekonomi utama yang secara langsung mempercepatkan usaha pemulihan ekonomi negeri Sabah. -SNT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *