Tidak Ada Pertembungan Kerusi Antara UMNO, Bersatu Dalam PRU15 – Bung

SEMPORNA, 5 APRIL 2021: Pergolakan politik antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berlaku di semenanjung Malaysia tidak memberi kesan kepada keadaan politik di Sabah.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, keputusan yang dibuatnya sedikit memberi implikasi kepada kepimpinan UMNO pusat namun segala yang dilakukan adalah untuk rakyat Sabah.

“Impak dia memang sentiasa ada, cuma pendirian kita bahawa Sabah ini baharu sahaja mengadakan pilihan raya enam bulan lalu, sudah tentu harapan rakyat kepada kerajaan yang ada ini begitu tinggi.

“Sebab pertama rakyat sudah menderita akibat kekerapan pilihan raya. Yang kedua menderita kerana keadaan ekonomi tidak baik.

“Yang dahulu mempunyai perniagaan, kini sudah tiada lagi. Yang dahulu ada pekerjaan, kini sudah tiada lagi,” katanya.

Bung Moktar berkata, keputusan yang dibuat untuk UMNO Sabah terus bekerjasa dengan Bersatu Sabah adalah berat namun sudahpun dijelaskan kepada pucuk pimpinan agar Sabah terus maju melangkah ke hadapan.

“Selaku Ketua UMNO Sabah, saya menimbang iaitu semasa pilihan raya kita memberi jaminan kepada rakyat.

“Apabila kita diberi mandat, kita akan perkukuhkan kerajaan yang sedia ada untuk membangun negeri Sabah dan membela untung nasib rakyat.

“Memang berat keputusan diambil ini tetapi ia telah dijelaskan kepada pemimpin UMNO termasuk Presiden UMNO bahawa betapa perlu kami pertahankan kerajaan GRS bukan sahaja untuk menghormati rakyat tetapi untuk memastikan Sabah akan terus tidak ketinggalan daripada negeri lain,” katanya lagi.

Pihaknya juga memberi jaminan bahawa tidak akan ada pertembungan kerusi antara UMNO dan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Ini akan kami bincangkan, perhalusi bagaimana mekanisme atau pendekatan yang akan kami gunakan untuk memastikan tidak akan ada pertembungan di antara kami dalam PRU yang akan datang ini. Kita berdoa mudah-mudahan tidak ada,” katanya semasa ditemui selepas merasmikan Marina Sea Fest Hotel milik Datuk Chua Ching Wah di Semporna, Sabah pada Ahad.

Terdahulu Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi mengumumkan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU2020) pada 28 Mac lalu bahawa UMNO tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU15. – AWANI

Leave a Reply

Your email address will not be published.