PRU15: Srikandi Bersatu Sabah cadang empat calon wanita

KOTA KINABALU – Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah bercadang mengemukakan empat calon wanita untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Ketuanya, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, nama empat calon yang dicadangkan juga sudah dikemukakan kepada pimpinan tertinggi parti negeri dan Pusat.

Sejak dahulu lagi beliau sering menyuarakan tuntutan untuk menetapkan sekurang-kurangnya 10 peratus calon wanita untuk setiap PRU.

“Tetapi kadang kala kita kena realistik kerana ada sebahagian tempat kita ada calon yang berpotensi tetapi jika kerusi itu milik orang lain, jadi kita terpaksa (lepaskan), mana boleh kita ambil orang punya. Jadi kita kena seimbangkan.

“Tetapi, sekurang-kurangnya kita mahu kemukakan empat orang calon. Sudah ada calon tetapi kita tidak boleh umumkan dulu. Nama mereka pun sudah kita kemukakan kepada kepimpinan parti negeri dan Srikandi Malaysia pun kita sudah bagi,” katanya kepada pemberita di sini, pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung calon yang akan diketengahkan Srikandi Bersatu Sabah untuk PRU akan datang.

Tambah beliau lagi, empat calon dicadangkan itu juga sudah dikenali ramai di peringkat akar umbi di negeri ini namun dalam masa sama mereka perlu terus bekerja keras untuk rakyat.

“Semua calon memang ada potensi dan buat kerja di bawah supaya mereka boleh diterima rakyat namun mereka sebenarnya memang sudah dikenali ramai,” katanya.

Sementara itu, beliau juga Ahli Parlimen Beaufort menegaskan akan mempertahankan kerusi berkenaan untuk Bersatu.

“Sebagai orang parti mesti kita mahu mempertahankan kerusi kita tidak kira siapa yang bertanding, saya atau sesiapa saja itu soal lain.

“Yang penting, sekarang ini kerusi itu mesti kita pertahankan. Siapa pun boleh kata itu kami punya, tetapi rakyat pun berubah juga,” katanya.

Kerusi Parlimen Beaufort yang disandangnya kini dimenangi atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRU14 namun beliau kemudian menyertai Bersatu sekali gus menjadikan kerusi itu adalah milik parti berkenaan. – Sinarharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *