Kemasukan dalam GRS mesti bebas rasuah

KOTA KINABALU: Parti politik baharu atau lama yang ingin menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mesti dalam kalangan yang bebas rasuah.

Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata, GRS mesti menetapkan syarat ketat supaya semua ahli dalam gabungan itu penuh integriti dan tidak terlibat dengan sebarang gejala rasuah dan salah guna kuasa.

“Saya melihat GRS mesti membuktikan keutamaan rakyat adalah lebih penting kerana rasuah boleh menyebabkan seluruh sistem pentadbiran akan rosak dan rakyat yang akan menerima kesan negative,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, ditambah pula sekarang ini, anak muda lebih cakna dengan ketelusan dan integriti.

Beliau berkata, rakyat khususnya anak muda dilihat sudah bosan dengan budaya politik lama.

“Jika ada tanda-tanda bersalah mereka akan cuba merisik untuk menyertai parti pemerintah. Budaya politik seumpama ini sudah lapuk,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik.

Beliau yakin semua kepimpinan GRS termasuklah daripada PAS akan terus menjamin sistem negeri itu diurus dengan penuh integriti.

Justeru, beliau mencadangkan supaya kepimpinan utama parti politik yang ingin menyertai GRS mesti melalui tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). -SBN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *