Permulaan Suatu Pengakhiran?

Sungguh sayu! Saudara kita di Ranau sedang menderita dek banjir dan tanah runtuh sehingga ada juga kenderaan yang hanyut dibawa air bah, kehilangan harta benda, tidak kurang juga ramai saudara kita yang kehilangan tempat berlindung kerana dipalu ombak. Mereka yang terkesan sekurang-kurangnya mahu sang politikus yang bertanggungjawab turun padang untuk melihat kesan bencana dan minta mereka yang berkenaan untuk mempercepatkan pembaikpulihan agar kehidupan segera menjadi sediakala. Namun apa yang terjadi?

Tatkala musibah menimpa saudara kita, penjawat awam bertungkus lumus sedaya mampu untuk meringankan beban yang terjejas, politikus-politikus berkenaan sibuk hendak merebut takhta dengan menjadikan rakyat sebagai benteng pengukuh alasan. Adapun seorang dari mereka ghairah berhujah depan sekumpulan wartawan dengan dua naskah perlembagaan negeri ditangannya cuba hendak membuktikan bahawa sang ketua eksekutif tidak lagi layak duduk di takhta tersebut dan mendabik dada bahawa dialah yang paling layak untuk duduk di singgahsana kuasa. Adakah dia tidak sedar bahawa pahlawan-pahlawan di kiri dan kanannya telah tewas jatuh tersungkur dalam peperangan baru-baru ini dan yatranya untuk menakluk tanah seberang barat Laut Cina Selatan gagal secara tuntas? Namun sang nakhoda dengan awak-awaknya masih lagi mendabik dada bahawa merekalah yang paling berkuasa dalam negeri ini dan ramai orang menyokongnya namun mereka tidak pernah sekalipun masuk kedalam istana dari pintu hadapan, melainkan dari pintu belakang, dengan bantuan si petualang.

Tatkala banyaknya terjadi tanah runtuh, jambatan dan jalan raya terputus hingga menyukarkan urusan harian ramai pihak, seorang lagi politikus rupanya sedang melaksanakan mahakaryanya, untuk mendapatkan takhta tertinggi negeri, kerana dirasakannya bahawa dialah yang paling layak untuk duduk di takhta tersebut. Terkenal sebagai pahlawan yang gemar menjamah darah, rupanya rakyat teramai menjadi mangsanya. Menggunakan benteng alasan yang sama seperti sang nakhoda kapal, ditambah dengan alasan mitranya dibuang dari suatu perusahaan negeri. Sanggup menjadi petualang mengkhianat mandat rakyat. Namun sayang seribu kali sayang, tidak telus dimatanya bahawa kami memandang mahakarya kamu bukan untuk kebaikan kami, tetapi hanya untuk memuaskan kebirahan kuasa kamu sehingga sanggup berpakat dengan sang nakhoda yang kamu sendiri benci dan kutuk depan kami. Adakah ini sebenarnya disebabkan negeri ini bakal mendapat semula hak-hak yang sebelum ini dinafikan sehingga rambang mata tanpa memikirkan kami?

Sesungguhnya kami sangat cemburu dengan kawan kami di sebelah selatan yang sedari dahulu telah memperjuangkan hak-hak mereka dalam persekutuan dan saban tahun semakin kaya, lebuh raya mereka hampir siap, peruntukkan negeri mencecah RM10 bilion. Kita? Angkara kebijakan sang nakhoda kapal dahulu, menggunakan alasan dangkal untuk melambatkan naik taraf lebuh raya kita, sehingga kini apa yang sudah dijalankan belum siap-siap dan kita telah jauh ketinggalan! Belum lagi pudar inai dijari ini politikus-politikus tersebut sudah mula mengeluarkan tembelang mereka.

Wahai saudara-saudaraku, jika kita terpaksa menginai semula jari kita ini kerana kerakusan masih merasuk diri mereka, kita turun secara beramai-ramai pilihlah yang mampu membawa cogan kata Sabah Maju Jaya dengan sesungguhnya. Kita sebenarnya mampu menumbangkan politikus-politikus yang hanya tahu mengenyangkan diri sendiri dan yang masih lagi terpaut setia dengan politikus seberang sana. Peristiwa ini sememangnya akan menjadi permulaan suatu pengakhiran bagi mereka.

Ikhlas,

Rakyat Sabah yang Kecewa

Artikel ini adalah pendapat dari penulis sendiri dan bukan dari Suara Sabah Today.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *