‘Rombakan Kerajaan Sabah ikut peraturan undang-undang’

KAJANG: Rombakan Kerajaan Sabah susulan kemelut politik yang berlaku baru-baru ini, yang menyaksikan pembabitan dan representasi semua kaum di negeri itu, adalah berlandaskan kepada peraturan undang-undang.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata perkara utama adalah kebertanggujawaban semua pihak kepada peraturan undang-undang dan Perlembagaan Sabah.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), berkata apa yang berlaku di Sabah bukan membabitkan pembentukan kerajaan baharu, sebaliknya ia adalah kerajaan sedia ada yang diterajui Ketua Menteri yang sama.

“Cuma ada pihak menzahirkan rasa tidak percaya kepada Ketua Menteri, namun ada pihak menzahirkan kepercayaan baharu kepada Ketua Menteri dan jumlahnya melebihi daripada jumlah minimum yang diperlukan seramai 40 wakil rakyat.

“Maka kerajaan sedia terus berfungsi dengan Ketua Menteri yang mendapat sokongan majoriti. Itu cukup penting untuk difahamkan,” katanya pada sidang media selepas lawatan rasmi ke Ibu Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di sini, hari ini.

Armizan berkata, beliau bersyukur melihat komposisi Kabinet Sabah ketika ini, dengan kemasukan tiga menteri baharu yang turut mewakili masyarakat Cina.

Beliau berkata, Kerajaan Sabah memerlukan sebuah Kabinet yang bersatu dan bekerja untuk meneruskan mandat yang diberikan rakyatnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2020.

Justeru, katanya, pemimpin yang dipilih perlu ada kesedaran sendiri untuk membuat sesuatu bagi memperbaiki keadaan di Sabah dan bekerja keras memenuhi mandat berkenaan.

“Syukur kerajaan sedia ada bawah Datuk Seri Hajiji Noor menunjukkan prestasi itu kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pakatan Harapan (PH), UMNO dan Barisan Nasional (BN) meneruskan sokongan kepada beliau.

“Indikator penting keupayaan kerajaan menambah hasil pendapatan Kerajaan Sabah pada takuk RM4 bilion untuk lebih 10 tahun lalu.

“Pada September 2020 dalam tempoh 2021, hasil (negeri) untuk kali pertama dalam hala tuju Sabah maju jaya, kali pertama dalam sejarah Sabah tembusi RM5.4 bilion pada 2021 dan

2022 meningkat kepada RM6.6 bilion,” katanya.

Pada masa sama, Armizan berkata, komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu disambut kepemimpinan Sabah untuk memastikan tanggungjawab dan amanah yang diberikan dapat dilaksanakan.

Beliau berkata, ini perlu susulan Kerajaan Persekutuan baru-baru ini memberi pengiktirafan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Sarawak untuk menguruskan projek bawah RM50 juta.

“Bagi saya sepatutnya pada kadar segera kedua-dua negeri termasuk Sabah khususnya memperincikan kapasiti kita di Sabah boleh menunaikan amanah itu.

“Kita tidak mahu pula apabila Kerajaan Persekutuan menurunkan kuasa tetapi kemampuan kita untuk melaksanakan pada peringkat negeri itu tidak mencapai tahap sewajarnya, akhirnya yang rugi rakyat Sabah juga,” katanya.

Beliau berkata, Anwar dijangka mempengerusikan Mesyuarat Pertama Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 di Kuching, Sarawak, pada 20 Januari ini yang akan membabitkan Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah. -BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *