Pindaan Perlembagaan berkaitan Sabah, Sarawak berkuat kuasa

KUCHING : Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 (Akta A1642) yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada pada 19 Januari lalu, dikuatkuasakan, mulai hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, akta itu merangkumi pindaan Perkara 1(2), Perkara 160(2) dan Perkara 161A (6) dan (7) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, RUU itu diwartakan sebagai Akta A1642 pada 25 Januari lalu dan penguatkuasaan adalah komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap Perjanjian Malaysia (MA63).

“Akta itu amat signifikan dan pastinya khabar gembira yang dinantikan rakyat Sabah dan Sarawak.

“Ini kerana pindaan kepada kepada fasal (2) Perkara 1 dan fasal (2) Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan adalah untuk menjelaskan lagi kedudukan negeri-negeri di Malaysia selaras dengan perkara yang tersurat dan tersirat dalam MA63,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Santubong, di sini, hari ini.

Menurutnya, pindaan kepada fasal (6) dan (7) Perkara 161A Perlembagaan Persekutuan pula adalah penetapan ras yang dikira sebagai asli bagi Sarawak seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang negeri.

Menerusi pindaan itu katanya, definisi ras asli Sarawak adalah tidak lagi tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Sebelum ini hanya anak pasangan pribumi Sarawak seperti pasangan suami isteri sesama Iban atau Melayu ataupun perkahwinan campur antara pribumi seperti Iban berkahwin dengan Melayu sahaja anak mereka diiktiraf sebagai Bumiputera.

“Bagaimanapun, anak hasil perkahwinan pribumi yang berkahwin dengan bangsa lain seperti Cina ataupun pribumi Sarawak dengan Melayu Semenanjung pula bukan dianggap Bumiputera,” katanya.

Justeru menurutnya, dengan pindaan itu kini terpulang kepada kerajaan Sarawak untuk menetapkan takrifan Bumiputera sebenar Sarawak menerusi perundangan Sarawak sendiri dan ia tidak lagi di bawah kawalan Persekutuan.

Ketika ditanya sama ada dengan pindaan akan menukar status Sarawak daripada negeri kepada wilayah, beliau berkata, ia akan diputuskan oleh kerajaan Sarawak.-BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *