Dua kluster punca Sabah catat kes tinggi hari ini

KOTA KINABALU: Dua kluster menjadi penyumbang kepada jumlah kes baharu COVID-19 di Sabah yang tinggi pada hari ini iaitu sebanyak 532 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata dua kluster terbabit membabitkan dari dua daerah di Sabah.

“Jumlah kes yang tinggi hari ini berpunca dari saringan di dua kluster iaitu Kluster Rumah Merah di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Menggatal, Tuaran dan Kluster Dbajaru di Lahad Datu.

“Kluster Rumah Merah di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Menggatal yang merekodkan sebanyak 150 kes manakala Kluster Dbajaru di Daerah Lahad Datu mencatatkan 133 kes,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas mengenai perkembangan COVID-19 di Sabah secara maya, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai saringan besar-besaran yang dilakukan di PTS Menggatal semalam, Masidi berkata ia merupakan merupakan pengesanan daripada pemantauan berterusan yang dilakukan ke atas semua tahanan yang ditempatkan di sana.

“Beberapa orang tahanan telah mula menunjukkan simptom dan didapati positif COVID-19 setelah ujian pengesahan dilakukan dan melalui siasatan yang dijalankan, jangkitan yang berlaku bukan jangkitan yang baru.

“Mereka ini dikesan negatif melalui saringan pertama yang dilakukan kerana pada masa itu mereka ini berkemungkinan berada di dalam fasa jangkitan yang awal dan bilangan virus (viral load) di dalam tubuh adalah rendah.

“Setakat ini, seramai 1,702 orang tahanan telah disaring dengan menggunakan kaedah rt-PCR,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *