Sabah Maju Jaya adalah hak rakyat Sabah
KOTA KINABALU: Sabah Maju Jaya (SMJ) adalah hala tuju bersama milik semua anak watan Sabah dan bukannya pelan milik peribadi Ketua Menteri dan jemaah menteri mahupun Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, hak milik SMJ datang bersama tanggungjawab untuk memastikan kerajaan dan rakyat bergerak seiring membina negeri Sabah yang lebih maju dan berjaya.
Katanya, sejak dari awal lagi ditekankan pengisian hala tuju SMJ perlu menyantuni aspirasi segenap lapisan masyarakat.
“Sebaik sahaja Kabinet negeri merumuskan kerangka hala tuju strategik, saya mengarahkan Sekretariat Hala Tuju SMJ untuk melaksanakan gerak kerja libat urus untuk mendapatkan input, syor dan pandangan daripada pelbagai pihak merentasi semua segmen masyarakat.
“Kita menerima pelbagai maklum balas berupa idea, cadangan dan pendapat yang menyentuh berbagai aspek pembangunan. Sebagai contoh, melalui responden e-penyertaan, sebanyak 1,280 input berjaya diperolehi.
“Sambutan positif daripada masyarakat ini menzahirkan keprihatinan dan harapan tinggi rakyat kepada kerajaan untuk mempelopori agenda perubahan, membawa rakyat dan tanah air tercinta ini melangkah ke hadapan untuk masa depan yang lebih makmur dan sejahtera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pelancaran Hala Tuju Sabah Maju Jaya (Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 1.0: 2021-2025) di sini hari ini.
Hajiji berkata, dalam hala tuju SMJ, kerajaan akan memfokuskan kepada tiga sektor utama pertumbuhan ekonomi iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan.
Menurutnya, dengan potensi dan sumber semula jadi yang dimiliki Sabah, kerajaan negeri yakin sektor pertanian akan dapat diperkasakan untuk menyumbang hasil kepada negeri.
Katanya, usaha itu dapat dicapai melalui pengeksportan hasil tempatan, meningkatkan pendapatan masyarakat tani dan nelayan serta mengurangkan kebergantungan negeri kepada import produk pertanian.
“Sektor kedua fokus pertumbuhan ekonomi negeri di bawah Hala Tuju SMJ adalah perindustrian. Sabah pernah menjadi salah sebuah negeri industri utama di Malaysia hingga pertengahan tahun 1980-an.
“Kita perlu bangkit dan melonjakkan potensi dan mengoptimumkan sumber yang ada untuk meningkatkan pertumbuhan sektor perindustrian.
“Di dalam Pelan SMJ 1.0, antara strategi dan pendekatan utama yang akan dilaksanakan adalah peningkatan insfrastruktur perindustrian, pembangunan keusahawanan, promosi pelaburan, dan usaha-usaha untuk meningkatkan daya saing industri dengan memanfaatkan kemajuan Revolusi Industri 4.0,” jelasnya.
Beliau berkata, bagi sektor pelancongan, walaupun pandemik COVID-19 mengakibatkan terhentinya aktiviti pelancongan buat sementara, namun ia juga memberi peluang kepada destinasi-destinasi pelancongan di negeri ini untuk menjalani proses rekuperasi (pemulihan).
Katanya, dalam tempoh pandemik ini, ia memberi peluang kepada kerajaan dan pihak industri untuk menetapkan semula serta merangka strategi, bukan sahaja strategi jangka pendek pemulihan pasca COVID-19, malah mengenal pasti bagaimana sektor ini boleh dimajukan jauh ke hadapan.
Turut hadir, Timbalan-Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin; Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr. Joachim Gunsalam; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Ongkili; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Kadzim M. Yahya; dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong; dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah merangkap Ketua Sekretariat Hala Tuju SMJ Datuk Rosmadi Datu Sulai. – UTUSAN BORNEO ONLINE