Wabak denggi Taman Sri Kepayan diumum capai status tidak terkawal

KOTA KINABALU, 29 MAC 2021: Penularan wabak denggi di Taman Sri Kepayan di sini diumumkan mencapai status tidak terkawal apabila mencatatkan 23 kes aktif sehingga semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi berkata selain penempatan terbabit, terdapat lima lagi kawasan yang turut dikenalpasti sebagai hotspot di negeri ini.

“Bagaimanapun status kawasan lain masih terkawal meliputi dua penempatan di Kota Kinabalu iaitu Taman Mei Lok Fasa 2 (dua kes) dan Taman King Lam (empat kes).

“Tiga lagi penempatan terletak di Tawau iaitu Taman Hua Li (dua kes), Taman Ria 1 dan 2 (empat kes), serta Tanjung Batu Darat – KK Sahar (empat kes),” katanya.

Dr Christina berkata sehingga 27 Mac sebanyak 443 kes denggi dikesan di seluruh negeri dengan tiga pertambahan kes baharu iaitu satu di Tawau dan dua lagi di Lahad Datu.

Kota Kinabalu merekodkan jumlah kes tertinggi di seluruh negeri dengan 154 kes, diikuti Tawau (89 kes), Semporna (39 kes), Sandakan (26 kes) serta Lahad Datu (23 kes).

Penampang dan Tuaran mencatat 16 kes, Papar dan Putatan 13 kes, Keningau dan Kota Belud 11 kes, manakala daerah lain di bawah enam kes, kecuali Beaufort dan Tenom sifar kes.

Dalam perkembangan berasingan, wabak kolera di seluruh negeri merekodkan 19 kes simptomatik dan dua kes asimptomatik dengan kes tertinggi di Lahad Datu (14 kes).

Berdasarkan statistik yang dikongsikan juga, terdapat tiga daerah yang turut mempunyai kes aktif iaitu di Kota Kinabalu (empat kes), Putatan (satu kes) dan Semporna (dua kes). – UTUSAN BORNEO ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *