Produk IKS Buatan Sabah ‘Terbang’ Ke UK

KOTA KINABALU : Penjualan pertama produk ‘Made In Sabah’ melalui Global Entrepreneur One Stop Centre (GLOPEC) yang dilancarkan hari ini ke United Kingdom (UK) berupaya memberikan ransangan positif kepada potensi produk tempatan.

Ia juga merupakan sebahagian daripada komitmen yang dilaksanakan menerusi penubuhan GLOPEC iaitu sebuah platform yang ditubuhkan pada tahun lalu yang merupakan hasil perkongsian strategik antara Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).

Antara objektif penubuhan itu adalah bagi meningkatkan jejak global bagi Industri Kecil Sederhana (IKS) Sabah daripada segmen B40 dan M40 yang diberi mandat di bawah Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera 2020 di Sabah sebagai sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe11).

Pelepasan telah disempurnakan Pengurus Kumpulan Kanan Bahagian Sumber Manusia dan Perkhidmatan Korporat (YS/ICSB) Zulkhairi Ismail yang mewakili Pengarah Yayasan Sabah merangkap Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn. Bhd., Datuk Seri Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar.

Majlis itu telah diadakan bertempat di Bangunan GLOPEC, Neutron Riverside, Inanam, disini.

Gulamhaidar dalam satu kenyataan berkata, GLOPEC telah terlibat secara aktif dengan rakan usaha sama strategik antarabangsa, agensi berkaitan perniagaan dan badan pentadbir serta pembekal dan pengguna dalam menerokai jaringan kerjasama perniagaan baharu dalam pasaran global.

“Meskipun pandemik COVID-19 telah memperlahankan perdagangan global sejak dua tahun lalu, GLOPEC sentiasa menilai dan menganalisis perkembangan perniagaan antarabangsa, serta merangka pelbagai strategi untuk meningkatkan peluang perniagaan bagi produk Sabah.

“GLOPEC bakal mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai pameran perdagangan antarabangsa dan promosi, pameran, dan forum perniagaan dalam fasa akan datang demi mempromosikan produk buatan Sabah,” katanya.

Katanya, meskipun persekitaran ekonomi global kian mencabar, KYS tekad membangunkan ciptaan dan inovasi baharu dalam perniagaan.

“Sememangnya, ia membantu dalam kematangan kreativiti, produktiviti, perdagangan, dan ekonomi secara keseluruhan.

“Produk IKS GLOPEC, seperti makanan kesihatan berasaskan sumber semula jadi dan produk kecantikan, memenuhi keperluan pengguna global.

“Begitu juga dengan batik dan kraf berasaskan sumber hutan; kedua-duanya menunjukkan bukti jelas kemajuan pembuatan kraf tangan dan keupayaan kita dalam menyemai kemahiran teknikal peringkat tinggi dalam reka bentuk dan pengeluaran kepada usahawan IKS GLOPEC, menghasilkan produk bertaraf dunia untuk pasaran global,” katanya. -SM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *