ADUN Pintasan hulur sumbangan wang tunai kepada 33 gereja sempena Hari Natal
KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Fairuz Renddan telah menghulurkan sumbangan berbentuk wang tunai kepada 33 buah gereja di Pintasan, Khamis lepas.
Beliau dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini berkata antara gereja yang menerima sumbangan tersebut membabitkan kawasan di Timbang, Mantanau, Ulu Kukut, Bubuk, Siudon, Bungaliu, Kukut/Timbang Menggaris, Sarang, Dudar Laut, Taburan Damang, Taburan Tambulawan, Mandawang dan Dudar Ulu.
Sumbangan itu disampaikan oleh wakil iaitu Pegawai Kemajuan Masyarakat DUN Pintasan, Sikar Datin dan Pemaju Mukim DUN Pintasan, Florenza Vivianne Joelin.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua pihak untuk saling berkongsi dan memberi khususnya di musim sambutan perayaan dan tahun baru yang bakal tiba beberapa hari lagi.
“Mari kita saling berkongsi kegembiraan dan rezeki, khususnya di musim perayaan, kerana amalan berkongsi ini membawa nikmat yang besar dan bermakna.
“Saya yakin semua agama menuntut penganutnya untuk peka dengan keadaan sekeliling khasnya dalam saling bantu-membantu, tanpa mengira apa bangsa atau agama sekalipun, kerana nilai kemanusiaan itulah yang sangat tinggi yang perlu ada dalam diri setiap dari kita,” katanya.
Fairuz yang juga merupakan Ketua ARMADA BERSATU Sabah berkata, amalan berkongsi dan menghulurkan sumbangan kepada semua tanpa melihat perbezaan fahaman agama adalah sinonim dengan budaya masyarakat yang hidup dalam pelbagai bangsa dan budaya di Malaysia dan khasnya di Sabah.
“Kita di Sabah pastinya perlu lebih prihatin dan berkongsi kerana kita hidup dalam komuniti masyarakat yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, yang menyambut pelbagai jenis perayaan saban tahun.
“Semangat perpaduan dan penyatuan itulah yang wajar kita kekalkan dan terus pupuk khasnya dalam kalangan generasi muda demi memastikan kita terus hidup harmoni dalam negara berbilang bangsa,” katanya.