Mangsa banjir Beaufort meningkat kepada 48 orang di PPS

BEAUFORT – Jumlah mangsa banjir dari Kampung Suasa yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Datuk Mohd Dun Banir di sini meningkat kepada 48 orang berbanding 43 orang pada petang Khamis.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan jumlah itu melibatkan mangsa daripada 15 keluarga yang dipindahkan ke PPS itu sejak Selasa lepas.

“PPS berkenaan mula dibuka pada Isnin lepas sebagai persediaan menghadapi bencana banjir berikutan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu,” menurut kenyataan itu malam Khamis.

Sementara itu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan memberitahu pasukan bomba dengan bantuan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) menjalankan operasi membantu tiga individu di Kampung Karamatoi, Sook, yang memohon bantuan untuk menyeberangi laluan dinaiki air untuk ke hospital.

“Pasukan bomba bersama APM berjaya membantu mangsa menyeberangi jalan yang dinaiki air menggunakan lori APM dan seterusnya dihantar ke Klinik Sook menggunakan pacuan empat roda bomba,” menurut kenyataan itu. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *