Hajiji: Tuntutan 40 peratus hasil dikutip kerajaan Pusat kekal

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah tetap dengan pendirian untuk menuntut 40 peratus hasil yang dikutip kerajaan Persekutuan dari negeri itu walaupun peruntukan mengenai perkara itu dinafikan kerajaan Pusat.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri akan meneruskan rundingan berhubung perkara itu kerana ia menjadi asas tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Perkara ini menjadi keutamaan kita dan walau apapun yang disebut di Persekutuan, perkara ini kekal menjadi asas tuntutan kita dalam MA63.

“Kerajaan negeri akan terus menuntut 40 peratus kutipan cukai dari Sabah itu, ini adalah pendirian kita,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Jabatan Ketua Menteri Sabah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan negeri menjelaskan pendirian berkenaan ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN – Senallang) mengenai kenyataan Menteri Kewangan Persekutuan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang sebelum ini dilapor mengatakan peruntukan 40 peratus itu tidak lagi wujud.

Hajiji berkata, perkara itu adalah pandangan kerajaan Persekutuan tetapi kerajaan negeri berpendirian ia masih hak Sabah dan perlu terus dituntut bersama perkara lain yang tersenarai dalam tuntutan MA63.

“Kita tidak pernah menggugurkan tuntutan mengenai perkara ini, sebaliknya kita akan terus menuntut sehingga kita dapat apa yang dijanjikan dalam semangat MA63,” katanya.

Terdahulu, dalam perbahasannya, Hajiji menjelaskan perjuangan terhadap hak Sabah termasuk berkaitan Pemberian Khas menjadi agenda utama kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Sebarang persetujuan ke atas bayaran Pemberian Khas adalah tanpa prejudis hak kerajaan negeri untuk bergantung kepada formula asal seperti yang dinyatakan dalam Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

“Perbincangan di antara kerajaan negeri dan Kementerian Kewangan persekutuan masih diteruskan,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa kerajaan negeri akan terus mempertahankan hak Sabah seperti yang termaktub dalam MA63 dan Perlembagaan Persekutuan berteraskan semangat Keluarga Malaysia.

Dalam hal berkaitan, Hajiji turut menjelaskan pendirian kerajaan negeri berkaitan Akta Laut Wilayah 2012, North Borneo (Alteration of Boundaries) Order in Council 1954 dan Akta Kemajuan Petroleum 1974.

Katanya, hak dan kepentingan negeri adalah seperti termaktub di bawah North Borneo (Alteration of Boundaries) Order in Council 1954 yang meliputi pelantar benua atau continental shelf.

“Hak dan kepentingan negeri ini sudah dimaklumkan kepada kerajaan Persekutuan melalui mesyuarat Majlis Khas MA63,” katanya.

Sementara itu, katanya status Sabah sebagai negeri Borneo bersama dengan Sarawak seperti yang termaktub dalam pindaan Perlembagaan Perkara 1(2) iaitu negeri-negeri Borneo adalah Sabah dan Sarawak, selaras dengan Laporan Antara Kerajaan (IGC Report).

Mengenai gelaran Ketua Menteri, Hajiji mengulangi pendirian kerajaan negeri yang tidak bercadang menukar panggilan itu kepada Premier seperti dilakukan kerajaan Sarawak. -BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *