Lelaki parah diserang buaya

TUARAN 7 FEBRUARI 2022: Seorang lelaki parah selepas diserang buaya ketika mencari lokan di Sungai Kampung Giling di sini, pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 11 pagi itu menyebabkan Yahya Madura, 57, parah di kaki kiri.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim, berkata siasatan awal mendapati mangsa bersama seorang lagi rakannya menaiki perahu kecil dari Kampung Mengkabong menuju Sungai Kampung Giling di kawasan paya bakau untuk mencari lokan.

“Ketika selesai mengumpul lokan dan mahu menaiki perahu untuk pulang, secara tiba-tiba reptilia itu dari dasar sungai menyerang mangsa.

“Buaya sepanjang kira-kira 1.5 meter itu bertindak agresif dengan menggigit kaki kiri, namun mangsa berjaya melepaskan diri sebelum menaiki perahu dan kembali ke Kampung Mengkabong bersama rakannya,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, mangsa kemudian dihantar ke hospital Tuaran untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Mangsa yang mengalami luka di bahagian belakang kaki kiri kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu.

“Kes dirujuk ke Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah dan sekiranya orang awam mempunyai maklumat berkaitan lokasi reptilia itu mohon segera menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran di talian 08-8791933, 08-8791966 atau 08-8791977,” katanya. -BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *