Pesta Kaamatan teras perkukuh keamanan di Sabah

KOTA KINABALU: Pesta Kaamatan mengajar rakyat pentingnya perpaduan yang erat sebagai teras dalam meningkatkan dan memperkukuhkan lagi keamanan di negeri Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, sambutan yang diraikan setiap tahun itu menjadi perayaan yang mengerat dan mengukuhkan ikatan kekeluargaan serta persahabatan di negeri ini.

Menurutnya, Pesta Kaamatan adalah acara kebudayaan dan kesenian yang sekian lama menjadi tembok dalam memelihara hubungan silaturahim yang sudah lama diterapkan di Sabah.

“Sudah menjadi asas kita bahawa kepelbagaian itu bukanlah sesuatu yang dijadikan pengukur untuk melihat perbezaan di antara kita sebagai rakyat di negeri Sabah ini.

“Sebenarnya, perpaduan dalam kepelbagaian menjadikan kita lebih kuat, menghargai kepelbagaian dalam setiap etnik kerana Sabah adalah negeri yang kaya dengan kepelbagaian suku kaum, etnik dan budaya,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap secara rakaman sempena majlis Penutupan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2021 di sini hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin. Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2021 Datuk Seri Panglima Jeffrey Kitingan.

Hajiji berkata, Pesta Kaamatan adalah perayaan yang diraikan setiap tahun dengan masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) dan komuniti etnik lain sebagai tanda kesyukuran dengan hasil tuaian yang melimpah.

Namun katanya, apa yang lebih penting, perayaan selama sebulan ini mampu menyatukan rakyat tanpa mengira latar belakang bangsa, agama dan budaya.

Dalam pada itu beliau turut mengingatkan, dalam pandemik COVID-19 supaya bersama-sama memberi tumpuan untuk mendukung setiap usaha bagi memastikan rakyat pulih daripada kesukaran ekonomi.

“Kerajaan negeri Sabah sentiasa berusaha memastikan pelan pembangunan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk membawa pembangunan dan kesejahteraan kepada rakyat dan negeri ini.

“Justeru, ketika kita merayakan Pesta Kaamatan hari ini, saya menggesa kita semua agar sentiasa waspada terhadap mana-mana usaha untuk mengagalkan dan memecahbelahkan usaha ini.

“Kita bersyukur walau pun negeri kita masih dilanda dengan penularan virus COVID-19, kita dapat bersama-sama dalam suasana sederhana tetapi meriah,” jelasnya.

Poihaknya turut gembira melihat penglibatan dan sokongan pelbagai pihak dan lapisan rakyat yang terus menjadikan Pesta Kaamatan sebagai teras keharmonian dan platform penyatu rakyat di negeri ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar rakyat terus berwaspada dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) supaya dapat melawan pandemik COVID-19.- UTUSAN BORNEO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *