UMNO Sabah sokong Ahmad Zahid terus pimpin parti

Oleh: Ranya Saai

KOTA KINABALU: UMNO Sabah menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk terus mengetuai tampuk kepimpinan parti terbabit.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata sokongan itu selaras dengan pendirian UMNO Sabah untuk menyokong pemimpin yang ada pada hari ini tanpa mengira siapa pun yang memerintah.

“Kita di Sabah sentiasa akur dengan keputusan pemimpin. Kita tetap menyokong pimpinan yang ada pada hari ini dan siapapun pemimpin UMNO kita akan sokong.

“Selaku pemimpin di peringkat negeri, kita harus melihat bahawa politik ini bersistem. Kalau di bawah tidak hormat pemimpin, maka orang lain tidak akan hormat pemimpin kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas majlis sambutan Ulang Tahun UMNO Sabah Ke-30 bertempat di Bangunan UMNO Sabah, di sini, semalam.

Sementara itu, Bung turut menjelaskan kenyataannya sebelum ini berkenaan hasrat UMNO Sabah bertanding sehingga 14 daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)

Menurutnya, walaupun perkara terbabit adalah berdasarkan permintaan akar umbi dalam parti, namun keputusan akhir berkenaan jumlah kerusi yang ditandingi pihaknya tertakluk dengan hasil rundingan dengan parti lain dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Ya semua kena bincang dulu cuma itu adalah cadangan akar umbi tetapi akhirnya nanti kita akan putuskan melalui perbincangan dalam GRS,” katanya.

Dalam pada itu, Bung yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri Sabah I berkata UMNO akan terus bergerak ke hadapan dalam perjuangan membela nasib rakyat dan membangunkan negeri ini.

Menurutnya, usaha terbabit akan dilaksanakan bersama parti lain dalam GRS yang bekerjasama membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lepas.

“GRS ada empat tahun lagi untuk memenuhi tuntutan rakyat dan kita yakin boleh melaksanakannya kerana GRS ada komitmen yang tinggi untuk memacu ekonomi Sabah,” katanya.

Bung juga menjelaskan bahawa UMNO Sabah tidak menghadapi masalah untuk meneruskan perjuangannya walaupun tidak lagi menjadi tunjang utama kerajaan negeri.

“Apa yang penting, UMNO adalah sebahagian daripada kerajaan dan dapat sama-sama membantu rakyat serta membangunkan Sabah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *