HFMD: 44 taska di Sabah ditutup

KOTA KINABALU – Sebanyak 44 Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) ditutup sejak penularan kes penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) di Sabah setakat ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, jumlah taska yang ditutup itu adalah daripada jumlah keseluruhan 7,658 premis yang diperiksa Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Menurutnya, setakat ini jumlah kumulatif kes sebanyak 4,604 kes iaitu 91 peratus adalah melibatkan kanak-kanak di bawah 12 tahun.

“Sebanyak 7,658 premis telah diperiksa dan setakat hari ini 44 premis telah diarah tutup sementara untuk menjalankan aktiviti pembersihan.

“Sempena pembukaan sesi persekolahan Isnin ini, premis yang telah diperiksa dan disahkan selamat mereka dibenarkan untuk membuka semula premis mereka.

“Namun bagi yang diarah tutup, mereka hanya boleh membuka premis setelah JKNS berpuas hati dengan tahap kebersihan premis,” katanya selepas hadir merasmikan Program Juara Suara Emas Pusat Aktiviti Warga Emas (Pawe) 2022 di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita berhubung saranan penutupan taska susulan kes HFMD yang masih aktif di Sabah ketika ini.

“Kita juga meminta kerjasama guru sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru supaya memberi kerjasama dan peka dengan perkembangan kes ini.

“Di peringkat tadika pula, pastikan premis dalam keadaan bersih dan terus asingkan segera sekiranya ada murid atau anak asuhan yang mempunyai gejala supaya tidak berjangkit,” katanya.

Sebelum itu, JKNS pada Jumaat melaporkan kes HFMD di Sabah menunjukkan penurunan pada minggu epidemiologi ke-22 bermula 29 Mei hingga 4 Jun lalu.

Pengarahnya, Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, sebanyak 528 kes HFMD dilaporkan pada minggu berkenaan iaitu turun sebanyak 27.17 peratus berbanding 725 kes pada minggu epidemiologi ke-21. -Sinarharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *