Maut kenderaan terjunam dalam gaung
KIMANIS: Seorang lelaki maut manakala rakannya parah selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas ke gaung sedalam 30 meter di Jalan Kimanis-Keningau, di sini, petang tadi.
Dalam nahas kira-kira 2 petang itu, mangsa lelaki yang belum diketahui identitinya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sepasukan lapan pegawai dan anggota bersama jentera dan dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis dan Papar dikerahkan ke lokasi sebaik menerima maklumat pada jam 2.21 petang.
“Setiba di lokasi, kami dapati kemalangan membabitkan kenderaan pacuan empat roda jenis D Max terbabas sendiri ke gaung sedalam 30 meter.
“Terdapat dua mangsa terbabit dilaporkan. Seorang mangsa telah terkeluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, seorang lagi mangsa lelaki tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.
“Mangsa kemudian dibawa naik oleh pasukan bomba menggunakan tali penyelamat dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.
“Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya sambil menambah, operasi ditamatkan jam 4.46 petang. -BH