Guna konsep EVC untuk tingkatkan produktiviti – Hajiji

KENINGAU: Semua pemain industri perkayuan di negeri ini digesa mentransformasikan industri itu dengan menggunapakai konsep Rantaian Nilai Ekonomi (EVC) yang mengintegrasikan kedua- dua sektor pengeluaran huluan dan hiliran.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pemprosesan perhutanan huluan dan hiliran perhutanan merupakan sektor yang berdiri sendiri selama ini yang bermakna produk huluan tidak sepadan sepenuhnya dengan permintaan hiliran.

Katanya, dengan konsep EVC, barisan pengeluaran ini akan bersepadu dan akan meningkatkan produktiviti pada skala yang lebih besar.

Hajiji berkata demikian semasa lawatan kerjanya ke Jawala Plantation Industries Sdn Bhd dan Sapulut Forest Development Sdn Bhd di Hutan Simpan Sapulut dekat sini hari ini. (25 Julai)

Ketua Menteri berkata, ini adalah lawatan kerja pertamanya ke kawasan konsesi SFMLA sejak beliau memegang jawatan itu untuk melihat kemajuan fizikal inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam sektor perhutanan iaitu Transformasi Ladang Hutan melalui Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan (2022-2036) yang dilancarkan pada 22 Mac lalu.

“Melalui Pelan Tindakan itu, Kerajaan Negeri menyasarkan untuk membangunkan 400,000 hektar ladang hutan dalam kawasan Hutan Simpan Komersial menjelang 2036,” katanya.

Menurutnya, strategi pembangunan ladang hutan ini adalah untuk mengurangkan kebergantungan sektor industri perkayuan hiliran daripada sumber bekalan bahan mentah keluaran hutan asli dan dalam masa sama mengekalkan daya saing sektor ini pada masa hadapan.

Beliau berkata, antara enam hingga lapan juta meter padu bekalan balak dijangka melalui penuaian 40,000 hektar ladang hutan setiap tahun.

“Ini akan memastikan bekalan bahan mentah yang mencukupi dan mampan kepada industri perkayuan dan berpotensi menyumbang kira-kira RM11.5 bilion kepada
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah, menyediakan 40,000 pekerjaan, dan mengembangkan lagi sektor pemprosesan kayu,” katanya.

Statistik Jabatan Perhutanan Sabah menunjukkan bahawa sejumlah 165,198 hektar ladang hutan telah dibangunkan oleh pemegang konsesi Perjanjian Lesen Pengurusan Hutan Mampan (SFMLA) di Hutan Simpan Komersial.

“Ini menunjukkan kemajuan 41.3 peratus daripada sasaran 400,000 hektar di bawah Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan,” tambahnya.

Sementara itu, Jawala Plantation Industries Sdn Bhd, telah berjaya membangunkan kira-kira 2,237 hektar atau 21.7 peratus daripada 10,294 hektar yang dizonkan sebagai ladang hutan sejak 2018 manakala Sapulut Forest Development Sdn Bhd telah membangunkan 20,969 hektar atau 95 peratus daripada 21,970 hektar sejak 2007.

Hajiji turut memuji kedua-dua Ladang Jawala dan Pembangunan Hutan Sapulut atas kemajuan yang baik dan berharap syarikat konsesi SFMLA lain yang diamanahkan untuk membangunkan ladang hutan di Sabah akan mencontohi kejayaan mereka.

“Saya percaya program pembangunan ladang hutan mampu melonjakkan tahap sosio- ekonomi masyarakat setempat melalui ketersediaan peluang pekerjaan dan kemudahan yang lebih baik untuk semua pekerja.

“Saya juga ingin menggesa pemegang konsesi supaya mengambil berat tentang perlindungan dan pemuliharaan alam sekitar selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri agar pengurusan hutan diurus secara mampan dan mengurangkan kesan terhadap perubahan iklim,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa program perladangan hutan telah menyumbang secara langsung kepada Program Penghijauan Malaysia melalui kempen penanaman 100 juta pokok di mana Sabah menyasarkan untuk menanam 40 juta pokok menjelang 2025.

Sehingga kini, 7.5 juta pokok telah ditanam di seluruh negeri dengan penglibatan syarikat konsesi SFMLA, agensi kerajaan, sektor swasta, murid sekolah dan orang ramai.

Sempena lawatan kerja Ketua Menteri ke Hutan Simpan Sapulut, 1,000 pokok lagi telah ditanam. Di Sapulut Forest Development Sdn Bhd, beliau mengisytiharkan membuka tapak semaian syarikat yang menyokong program penanaman pokok satu juta setahun dan yang akan menjadi sumber input untuk EVC.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Dr Joachim Gunsalam; Setiausaha Kerajaan Negeri; Datuk Seri Safar Untong; Ketua Konservator Hutan, Datuk Frederick Kugan; Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Sabah Tan Sri David Chu; Pwngerusi Jawala Plantation Industries Sdn. Bhd, Tan Sri Majid Khan dan Pengarah Urusan Sapulut Forest Development Sdn Bhd Norman Wong. -SM

Leave a Reply

Your email address will not be published.