PJ City mahu tambah derita Sabah

SEREMBAN: Mahu keluar daripada empat kelompok terbawah carta Liga Super menjadi dorongan buat skuad Petaling Jaya (PJ) City FC membenam Sabah FC pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam esok.

Skuad bimbingan P Maniam itu setakat ini mencatatkan dua kemenangan dan merekodkan lima keputusan seri daripada 11 perlawanan yang dilalui.

Perancang tengah skuad itu, R Barathkumar berkata, perlawanan di laman sendiri itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mendapatkan tiga mata sekali gus menambah derita anak buah Datuk Ong Kim Swee yang tersingkir daripada saingan Piala FA, Sabtu lalu.

“Sudah agak lama pasukan tidak mencatat kemenangan dengan dua keputusan seri dicatatkan dalam dua perlawanan terakhir sebelum ini iaitu ketika menentang Kuala Lumpur City dan Melaka United.

“Jadi, kami menyasarkan untuk melakar kemenangan ke atas Sabah bagi melonjakkan kedudukan pasukan dalam carta liga.

“Biarpun bukan suatu tugas mudah untuk menjinakkan pasukan berkenaan, tapi kami akan bekerja keras bagi mendapatkannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bekas pemain Negeri Sembilan FC (NSFC) itu bagaimanapun mengakui cabaran skuad Badak tidak boleh di pandang mudah kerana memiliki keupayaan tinggi terutama barisan pemain berwibawa termasuk import.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *