GRS terus utamakan aspek pendidikan anak-anak Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah yang diterajui oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus mengutamakan aspek pendidikan anak-anak Sabah.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dalam muat turun laman muka buku rasminya menyatakan sejumlah RM35 juta telah diperuntukkan pada tahun 2022 bagi meneruskan program bantuan tahun 2021 iaitu BUDI, BAKTI dan BAIK serta tiga lagi inisiatif yang baharu diperkenalkan iaitu Bantuan Aktiviti PIBG Sabah (BAGUS), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) serta Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA) 2022.

“RM3 juta telah diperuntukkan untuk program BAGUS dalam bentuk bantuan kewangan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di 1,500 sekolah, yang masing-masing akan menerima RM2,000 untuk menjalankan sebarang aktiviti.

“Bantuan BISBAH pula adalah bantuan berupa bekalan peralatan kemudahan di sekolah seperti komputer, pencetak, peralatan bantuan mengajar, meja dan kerusi. Pada tahun ini, sebanyak RM12 juta telah disediakan untuk membantu 1,500 buah sekolah di seluruh Sabah.

“Disamping itu, Kerajaan Sabah juga akan memberi pengiktirafan pencapaian cemerlang kepada pelajar-pelajar Sabah yang berjaya mencipta kejayaan dan mengharumkan nama Sabah di peringkat kebangsaan ataupun antarabangsa.

“Pengiktirafan khas Kerajaan Sabah ini akan dikenali sebagai Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA). Selain daripada inisatif-inisiatif ini, pemberian biasiswa bagi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi juga akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM55 juta.

“Tambahan lagi, Program Bantuan Sosial Sekolah juga akan diteruskan dalam bantuan pakaian seragam, kasut dan alat tulis melibatkan 289,204 murid dengan peruntukan sejumlah RM13.9 juta. Pada tahun 2021 yang lalu, melalui Program BAIK (Bantuan Ihsan Komputer) 10,000 orang pelajar SPM, STPM dan STAM yang memerlukan telah menerima bantuan komputer riba.

“Manakala seramai 5,000 anak Sabah yang melanjutkan pengajian di peringkat diploma dan ijazah pertama telah diberikan Bantuan Wang Pendaftaran IPT (BUDI) iaitu sebanyak RM1,500 di peringkat diploma dan RM2,000 peringkat ijazah serta seramai 40,277 anak-anak Sabah yang mendaftar menduduki peperiksaan SPM, STAM dan STPM telah diberikan Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) bernilai RM200 bagi membantu mereka membeli barang keperluan untuk menghadapi peperiksaan,” kata Hajiji

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *