RM298 juta atasi gangguan elektrik di Sabah, Labuan

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) memperuntukkan RM298 juta untuk menyelesaikan masalah gangguan bekalan elektrik di Sabah dan Labuan yang berpunca daripada faktor alam semulajadi, termasuk pencerobohan haiwan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Yaakob Jaafar, berkata RM128 juta daripada jumlah itu adalah untuk mengganti konduktor elektrik tidak berpenebat, manakala RM170 juta lagi untuk pengurusan rentis, pemasangan peralatan pencegahan gangguan binatang dan peralatan pelindung kilat.

Katanya, konduktor elektrik tidak berpenebat yang merangkumi 49 peratus rangkaian talian elektrik voltan sederhana 11kV ke pencawang di seluruh Sabah menyebabkan ia terdedah kepada ancaman alam semulajadi seperti terkena dahan pokok dan pencerobohan haiwan yang mengakibatkan gangguan bekalan elektrik.

Berikutan itu, katanya SESB dengan sokongan Pasukan Petugas Khas yang membabitkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli serta Suruhanjaya Tenaga (ST) mengambil inisiatif untuk menangani situasi itu melalui penyediaan peruntukan berkenaan yang akan dilaksanakan sehingga 2025 di seluruh Sabah dan Labuan.

“Melalui inisiatif ini, SESB menyasarkan pengurangan antara 30 peratus hingga 50 peratus menjelang 2025 bagi gangguan yang membaitkan konduktor tidak bertebat ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Sebelum ini, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mendedahkan di Dewan Rakyat sebanyak 97.7 peratus masalah gangguan bekalan elektrik di Sabah berlaku di peringkat pengagihan, antaranya berpunca daripada gangguan binatang liar selain penyambungan haram.

Mohd Yaakob berkata, berdasarkan rekod SESB, 35 peratus daripada gangguan voltan sederhana 11kV disebabkan oleh dahan pokok menyentuh konduktor elektrik atau pokok menghempap talian, diikuti 16 peratus pencerobohan masuk haiwan dan 11 peratus daripada cuaca buruk khususnya ketika ribut, hujan atau kilat.

Katanya, penyambungan bekalan elektrik secara haram yang menyumbang 25 peratus daripada jumlah gangguan juga dikenal pasti sebagai punca utama kepada gangguan bekalan elektrik sistem voltan rendah dan boleh mengundang masalah litar pintas termasuk kes renjatan elektrik.

“Oleh kerana keadaan fizikal konduktor yang terdedah (tidak berpenebat), ia sangat sensitif apabila bersentuhan dengan dahan pokok atau pokok yang tumbang di atas talian dan keadaan ini lebih teruk ketika cuaca buruk khususnya ribut, hujan, atau kilat.

“Di samping itu, terdapat juga kes gangguan bekalan berlaku apabila haiwan seperti tupai, tikus, monyet dan ular menceroboh masuk ke dalam zon voltan sederhana dan bersentuhan dengan konduktor atau besi pada tiang secara serentak, menyebabkan litar pintas,” katanya.

Sebagai penyelesaian jangka panjang, katanya SESB giat menaik taraf talian konduktor tidak berpenebat kepada jenis yang berpenebat, namun memerlukan masa untuk dilaksanakan secara bersasar dan berperingkat.

Langkah penyelesaian jangka pendek, SESB menambah baik pengurusan rentis dengan memperkenalkan konsep penjagaan konsesi yang memberikan tumpuan kepada kawasan yang sering terkesan dengan gangguan bekalan elektrik seperti di kawasan Tuaran, Keningau, Kota Marudu dan Ranau.

“SESB juga sedang menilai konsep lain seperti penubuhan pasukan bertindak khas untuk menyelesaikan isu rentis di kawasan yang mempunyai cabaran yang unik dan tersendiri,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *